Pages

Saturday, 28 March 2015

GST : ANTARA CABARAN DAN TANGGUNGJAWAP

GST

IPOH - Persatuan Pegawai Kanan Kastam Malaysia (Perkasa) mengecam keras tindakan kumpulan anti-GST menyerbu Kompleks Kastam WPKL Kelana Jaya pada 23 Mac lepas bagi membantah pelaksanaan sistem percukaian baharu itu yang bakal dilaksana pada 1 April ini.   

Presidennya, Mohd Noor Yusoff berkata, ini kerana GST adalah agenda negara dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia sekadar menggalas amanah dan tanggungjawab untuk melaksanakan sistem percukaian yang menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang diamal sejak tahun 70-an.    

"Tujuan kumpulan ini ialah untuk menggagalkan pelaksanaan GST pada 1 April. Saya percaya mereka ini faham GST adalah agenda nasional kerajaan dan bukan agenda kastam.    

"Kami menganggap ini sebagai suatu cabaran dan ini menaikkan semangat kami dan saya yakin pegawai kanan kastam yang berjumlah 3,000 orang dengan dibantu 13,000 anggota lain mampu memikul tanggungjawab yang diamanahkan kepada kami," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.   

Beliau berkata pihaknya sedia membuka ruang dan meluangkan masa kepada sesiapa sahaja yang ingin mendapatkan maklumat tepat berkaitan mekanisma pelaksanaan GST.    

Katanya, Perkasa memandang serius tindakan pihak tertentu yang cuba memutar belit kenyataan atau maklumat ceramah anggotanya dan menyebarkannya secara tidak profesional dan jika perlu, akan mengambil tindakan undang-undang.    

"Perkasa memohon agar pihak terbabit tidak membuang masa dengan provokasi dan lebih baik sekiranya mereka berkumpul di dewan atau stadium dengan memanggil pihak kastam bagi tujuan penerangan GST," katanya.
    
Mohd Noor berkata, JKDM akan terus memainkan peranannya dalam memberi penerangan yang berkesan kepada semua 'registrant' melalui program 'hand holding' yang akan dijalankan secara proaktif sehingga semua registrant faham konsep GST. - Bernama

No comments:

Post a Comment