Pages

Monday, 30 March 2015

(7 GAMBAR) : DUA MAUT TERTIMBUS TANAH RUNTUH KETIKA SEDANG PASANG PAIP



MACHANG: Dua orang buruh maut selepas tertimbus dalam runtuhan tanah ketika sedang menjalankan kerja pemasangan paip di Kampung Lepan Kandis, Pulai Condong di sini, hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Machang DSP Loo Lian Lay berkata dalam kejadian 2 petang itu, empat buruh sedang meratakan tanah di kawasan permukaan galian sedalam kira-kira lima meter.

"Secara tiba-tiba tanah di bahagian tepi dengan jalan raya runtuh, dua daripada pekerja berkenaan berjaya diselamatkan oleh beberapa rakan pekerja yang lain.

"Bagaimanapun dua orang lagi tertimbus di tempat kejadian. Identiti mangsa yang maut masih disiasat kerana mereka terbabit dipercayai bukan warganegara Malaysia. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Machang untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata dua mangsa yang terselamat adalah warga tempatan dikenali dikenali sebagai Mohd Zamri Kadir, 21, dan Che Mohd Faizal Che Mat, 30 tahun.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Machang, Pegawai Bomba Kanan II Abdul Kadir Che Ya berkata pihaknya menerima panggilan pada 2.10 petang dan tiba 10 minit kemudian di tempat kejadian bersama lima anggota dan sebuah jentera.

"Kita menemui mangsa pertama pada 2.30 petang dan mangsa kedua pada 4.20 petang. Dua lagi mangsa berjaya diselamatkan oleh pekerja dan penduduk kampung berhampiran tempat kejadian," katanya.

Sementara itu, mangsa, Mohd Zamri ketika ditemui berkata beliau dan tiga rakannya sedang menjalankan kerja-kerja meratakan tanah sebelum dinding lubang sedalam lima meter itu runtuh dan menghempapnya.

"Runtuhan itu menyebabkan saya tertimbus di dalam tanah dan nasib baik sebelah tangan terjulur keluar daripada runtuhan tersebut. Saya bernasib baik kerana rakan yang berada di permukaan melihat kejadian itu dan bergegas menyelamatkan saya.

"Sebelum ini memang runtuhan tanah sering berlaku dalam lubang yang kami gali untuk pasang paip, namun runtuhan itu kecil sahaja. Saya tak sangka runtuhan hari ini besar dan hampir menjadi korban," katanya.AstroAwani






No comments:

Post a Comment