Pages

Friday, 27 February 2015

PRK DUN CHEMPAKA : AHLI BN DILARANG TANDING CALON BEBAS


KOTA BHARU: Barisan Nasional (BN) akan mengambil tindakan ke atas ahlinya yang bertanding atas tiket bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka 22 Mac ini.

Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata ahli parti harus akur dengan keputusan yang telah dibuat oleh pucuk pimpinan untuk tidak meletakkan calon bertanding pada PRK berkenaan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi bicara Komuniti Ekonomi ASEAN sempena Pemukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota di sini, hari ini.

BN baru-baru ini mengumumkan tidak akan bertanding pada PRK DUN Chempaka pada 22 Mac untuk memberi fokus kepada kerja-kerja pemulihan pasca banjir di Kelantan serta membantu mangsa banjir di negeri itu, demi perpaduan ummah.

Mengulas mengenai tohmahan segelintir pihak yang mendakwa BN takut bertanding di kubu kuat PAS itu, Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan sekali lagi menegaskan perpaduan ummah perlu diutamakan berbanding menambah bilangan kerusi dalam DUN.

"Itu sebabnya kita tak bertanding (mahu ummah bersatu). Lepas banjir ni kita redakan (ketegangan), kita dah ada perkara yang kita buat bersama (antara kerajaan Persekutuan dan negeri) dan kita fokus kepada kepentingan rakyat.

"Ada perkara-perkara yang kita boleh berbeza pendapat tapi ada perkara-perkara yang kita harus (duduk) bersama dan kita harap ada titik pertemuan dalam hal-hal yang penting untuk agama, bangsa dan negara," katanya.

Kerusi DUN Chempaka kosong berikutan penyandangnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, meninggal dunia akibat kanser prostat pada 12 Februari lepas.- BERNAMA

No comments:

Post a Comment