Pages

Wednesday, 11 February 2015

POLIS TAHAN ZUNAR BAWAH AKTA HASUTAN


Kuala Lumpur – Kartunis, Zulkiflee Anwar Alhaque atau lebih dikenali sebagai Zunar, telah ditahan polis kira-kira jam 9.00 malam tadi di kediamannya, dipercayai di bawah Akta Hasutan 1948.

“Lima pegawai polis datang… mereka ke sini untuk menahan Zunar dan membawanya ke IPD Dang Wangi.

“Yang tiga pegawai kanan itu sangat sopan, dan meminta ‘Abang’ membawa ubat-ubatan serta bajunya sekali. Abang ditahan kerana Twitternya,” kata isteri Zunar, Faszt Alin Adan di laman Facebooknya.

Sebelum itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam satu kenyataan menerusi akaun Twitternya, telah mengarahkan pihak polis menyiasat Zunar kerana memuatnaik tweet yang dikatakan berbaur hasutan.

Selain Zunar, Khalid turut mengarahkan siasatan dilakukan ke atas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli di bawah Akta Hasutan kerana memburukkan sistem kehakiman negara.

Beliau telah mengarahkan Pusat Tindak Balas Siasatan Siber Polis (PCIRC) menyiasat sebuah tweet oleh Rafizi, petang tadi.

Beberapa jam sebelum itu, beliau turut mengeluarkan arahan supaya Ahli Parlimen Taiping (DAP), Nga Kor Ming disiasat di bawah akta yang sama kerana dikatakan mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan di Twitter.

Kesemua tweet yang disiasat itu dipercayai reaksi individu-individu tersebut berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan pada Selasa terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, 67, telah dijatuhkan hukuman penjara lima tahun atas kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan tujuh tahun lalu.

Keputusan itu disampaikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria, yang mengetuai panel lima hakim Mahkamah Persekutuan, selepas membacakan keputusan selama hampir 2 jam itu.
AstroAwani

No comments:

Post a Comment