Pages

Wednesday, 4 February 2015

PELAJAR TINGKATAN SATU MAUT DALAM KEBAKARAN

PENDANG – “Ayah, tolong! tolong!," jerit seorang pelajar tingkatan satu yang terperangkap dalam kebakaran di sebuah kedai runcit di Kampung Nam Dam, Jalan Sungai Tiang di sini, kelmarin.

Jeritan itu pasti tersemat dalam ingatan Mohammad Khairuddin Abd Kadir, 32, sepanjang hayatnya apatah lagi dia tidak berdaya menyelamatkan gadis malang itu kerana api terlalu marak.

Kejadian menyayat hati kira-kira jam 7 malam itu menyebabkan mangsa, Wan Putri Nur Aisyah Wan Mohd Fahmi, 13, maut di tempat kejadian.

Mangsa yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kubor Panjang, ditemui rentung dalam keadaan terbaring di ruang belakang kedai runcit berkenaan jam 8.10 malam.

Mengimbau kejadian, Mohammad Khairuddin berkata, ia berlaku terlalu pantas.

“Waktu itu, saya sedang menutup bengkel kereta yang bertentangan dengan kedai runcit itu. Tiba-tiba saya terdengar budak jerit minta tolong berulang kali. Saya pun bergegas keluar sebelum mendapati api dan asap tebal menyelubungi kedai runcit tersebut,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, beliau cuba menyelamatkan mangsa yang terperangkap berdasarkan arah jeritan suara itu, namun gagal.

“Saya pergi ke belakang kedai untuk menyelamatkan mangsa, tetapi pintu itu terkunci. Nak masuk melalui depan memang tidak boleh sebab api marak,” katanya.

Difahamkan, orang awam yang berada berdekatan juga cuba memasuki kedai tersebut untuk menyelamatkan mangsa, tetapi gagal kerana api dan asap terlalu tebal.

Kebakaran itu turut memusnahkan dua motosikal dan dua kereta Proton Saga yang terletak di bengkel milik Mohammad Khairuddin.

No comments:

Post a Comment