Pages

Sunday, 8 February 2015

KENYATAAN AKHBAR MAJLIS PIMPINAN PAKATAN RAKYAT

Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat (MPPR) hari ini memutuskan untuk mengadakan satu mesyuarat khas bagi membincangkan dan merangka penyelesaian menyentuh isu Enakmen Jenayah Syariah (hudud) dan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT).

Perkara ini diumumkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media selepas tamat mesyuarat itu 3.30 petang tadi.

Bagaimanapun, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak menghadiri sidang media itu.

Anwar berkata, bagi memperbaharui dokongan penyokong, Anwar berkata Pakatan Rakyat juga bersetuju untuk mengadakan konvensyen Pakatan Rakyat pada 10 Mei 2015 di Kuala Lumpur.


KENYATAAN AKHBAR MAJLIS PIMPINAN 
8 FEBRUARI 2015
Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat telah bermesyuarat hari ini di Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut.

Ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat mengesahkan komitmen kepada perjuangan Pakatan Rakyat sebagaimana yang telah dipersetujui dalam Agenda Bersama Pakatan Rakyat.

Mesyuarat hari ini bersetuju bahawa semua keputusan yang dibuat oleh Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat dibuat berteraskan prinsip muafakat bersama. Atas semangat saling menghormati, keputusan yang dimuktamadkan sebegini menjadi asas keutuhan Pakatan Rakyat selama ini.

Pun begitu, Pakatan Rakyat juga akan terus meraikan perbezaan pendapat di antara parti-parti Pakatan Rakyat. Mesyuarat bersetuju untuk mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan dan merangka penyelesaian menyentuh isu-isu Enakmen Jenayah Syariah 2 dan Pilihanraya Pihak Berkuasa Tempatan.

Bagi memperbaharui dokongan para penyokong, kita bersetuju agar Konvensyen Pakatan Rakyat dianjurkan pada 10 Mei 2015.

Pakatan Rakyat mendokong semua langkah mewujudkan permuafakatan membabitkan parti-parti politik dan badan-badan bukan kerajaan bagi mencari penyelesaian berkaitan isu-isu semasa terutamanya ekonomi dan ketegangan hubungan kaum.

Menjelang hari keputusan Mahkamah Persekutuan dalam Kes Fitnah II, ketiga-tiga parti mengulangi tekad dan memberikan jaminan bahawa perjuangan bersama di dalam Pakatan Rakyat akan terus dipertahankan. Kami menegaskan bahawa perbicaraan ini adalah perbicaraan bermotifkan politik. Majlis Pimpinan juga bersetuju untuk bermesyuarat semula sejurus selepas Mahkamah Persekutuan membuat keputusan pada 10 Februari 2015.
Lim Guan Eng 
Anwar Ibrahim 
TG Hj Abdul Hadi Awang

No comments:

Post a Comment