Pages

Wednesday, 18 February 2015

DS AHMAD SHABERY SEDIA PLATFORM SESI DEBAT BERHUBUNG KES KEPUTUSAN LIWAT ANWAR


Hasil carian imej untuk AHMAD SHABERY CHEEK

PUTRAJAYA – Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek bersedia menyediakan platform untuk sesi debat terbuka antara Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dengan pihak yang mempertikai keputusan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahmad Shabery berkata amat malang jika ada pihak yang terus mendakwa bahawa keputusan tersebut merupakan konspirasi politik UMNO bersama dengan pihak kerajaan yang mahu menganiaya Anwar.
“Ia merupakan satu tuduhan yang tidak berasas,” katanya selepas menghadiri majlis penyerahan cek sumbangan Tabung Kemanusiaan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (TKKMM) bagi membantu mangsa banjir di sini hari ini.
Justeru, katanya, beliau bersedia menganjurkan sebarang forum, dialog atau debat bagi rakyat berpeluang melihat hujah sebenar mengenai kes itu melalui saluran televisyen nasional atau mana-mana platform lain.
“Saya sebenarnya tidak mahu masuk campur dalam hal ini tetapi bila ada pihak yang terus mencemarkan nama negara dan sistem keadilan dan mempersoal hakim kita hingga sanggup ke luar negara untuk mempengaruhi negara lain bagi mencemuh negara kita, ia boleh dianggap sebagai mengkhianati negara,” katanya.
Jelasnya platform debat tersebut juga diadakan bagi memberikan ruang yang lebih seimbang bagi semua pihak memberikan pendapat yang dapat ditonton oleh semua rakyat.
“Sekurang-kurangnya kita dapat bagi pendapat yang lebih seimbang kerana lebih daripada enam tahun terutamanya daripada parti kerajaan berdiam diri kerana kita kata isu ini adalah antara Anwar dengan pembantu khas yang dia sendiri pilih,” kata Ahmad Shabery.
Namun, katanya, penganjuran debat itu terserah kepada pihak mahkamah sama ada ia dibenarkan untuk diadakan.
Anwar menjalani hukuman penjara lima tahun setelah Mahkamah Persekutuan pada 10 Feb lalu memutuskan beliau bersalah meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

No comments:

Post a Comment