Pages

Thursday 22 January 2015

PERBEZAAN QIAMULLAIL & TAHAJJUD


Qiamullail: Setiap solat sunat yang dilakukan pada waktu malam.
Tahajjud: Setiap solat sunat yang dilakukan selepas tidur pada waktu malam.

Oleh itu setiap solat tahajjud adalah qiamullail dan tidak semestinya solat qiamullail itu solat tahajjud.

Dalilnya adalah hadis yang diucapkan oleh seorang sahabat Nabi saw , iaitu Hajjaj bin Amru ra beliau berkata:
بحسب أحدكم إذا قام من الليل يصلي حتى يصبح : أنه قد تهجد؟ إنما التهجد المرء يصلي الصلاة بعد رقدة ثم الصلاة بعد رسول الله وتلك كانت تلك صلاة رسول الله
” Adakah sesorang menyangka apabila dia menghidupkan malam dengan solat sehingga subuh itu sudah dikira tahajjud? Sesungguhnya tahajjud hanyalah solat malam selepas tidur. Kemudian solat selepas tidur. Itulah cara solat Rasulullah saw.” (Hr Thabrani )

Daripada Hajjaj bin Amru ra beliau berkata:
كان رسول الله يتهجد بعد نومه
“Rasulullah saw solat tahajjud selepas tidur.” (Hr Ibnu Abi Khaisamah – hasan)
Ulama Syafie dan Maliki memberi definasi solat tahajjud:
“Solat sunat pd waktu malam selepas tidur.”

PERMULAAN WAKTU SOLAT QIAMULLAIL
Rasulullah saw bersabda:
لا بد من صلاة بليل ولو حلب شاة وما كان بعد صلاة العشاء الآخرة فهو من الليل
“Solat malam adalah satu kemestian sekalipun sekadar perahan susu kambing biri-biri. Solat yang dilakukan selepas solat fardu isya adalah dikira solat malam.” (Hr Thabrani – daif)

Ulama telah berselisih pendapat pada masalah ini kepada dua pendapat:-
Pendapat pertama:
Solat qiamullail adalah solat sunat yang dilakukan selepas solat isya.
Ini adalah pendapat mazhab Hanafi dan sebahgian ulama syafie.
Pendapat kedua:
Tidak disyaratkan solat qiamullail itu dilakukan selepas isya’. Waktu solat qiamullail bermula apabila masuk waktu magrib.
Imam Bahuti berkata:
“Disunatkan Qiamullail. Waktunya bermula dari waktu magrib sehingga waktu subuh.”

PERMULAAN WAKTU TAHAJJUD
Ada dua pendapat mengenai perkara ini seperti berikut:
Pertama: Mazhab Syafie
Imam Syarwani berkata: Tahajud menurut istilah ulama syafie adalah sembahyang sunat yang dilakukan selepas solat isya sekalipun sebelum masuk waktu isya bagi yang melakukan jamak takdim dan hendaklah dilakukan selepas tidur. Tidak kira apa jua jenis solat sunat samada solat sunat rawatib atau solat-solat sunat yang lain.
Kedua: Mazhab hanafi.
MAzhab hanafi mensyaratkan untuk dikira solat tahajjud hendaklah dilakukan selepas masuknya waktu isya dan dilakukan selepas tidur.

WAKTU QIAM DAN TAHAJJUD RASULULLAH SAW
Aisyah ra telah menjawab soalan tentang solat malam Rasulullah saw:
كان ينام أوله ويقوم آخره فيصلي ثم يرجع إلى فراشه فإذا أذن المؤذن وثب فإن كان به حاجة اغتسل وإلا توضأ
“Nabi saw tidur pada awal malam kemudian bangun diakhir malam dan melakukan solat malam. Kemudian baginda akan berjimak dengan isterinya jika baginda berkeinginan sebelum baginda tidur semula. Bila azan berkemandang, baginda akan bangun dan mandi junub jika telah berjimak dan hanya berwuduk jika tidak berjimak.” (Hr bukhari dan Muslim)

WAKTU HABIS QIAMULLAIL
Kebanyakan ulama yang terdiri dari mazhab Syafie, Maliki, Hanafi dan Hambali mengatakan habisnya masa qiamulail dan tahajjud adalah bila masuk waktu subuh.
Aisyah ra telah berkata:
كان رسول الله صلى الله يصلي من الليل حتى يكون آخر صلاته الوتر
” Rasulullah saw solat pada waktu malam yang diakhiri dengan solat witir.” (Hr Muslim – sahih)

Ini menunjukkan solat Rasulullah saw berakhir sebelum masuk waktu subuh.

Pesanan Penting:
Hendaklan setiap muslim yang telah qiamullail dan tahajjud pada bulan ramadan meneruskan amalan mereka selepas ramadan. Janganlah kita merobohkan binaan amalan yang telah dibina di bulan Ramadan. Nabi saw bersabda:
يا عبد الله لا تكن مثل فلان كان يقوم الليل ثر ترك قيام الليل
“Wahai Abdullah, janganlah engkau menjadi seperti si fulan, dahulu dia melakukan qiamullail. Kemudian dia meninggalkannya.” (Hr Bukhari dan Muslim)

Begitu juga dengan amalan2 yang lain kita perlu teruskan dengan ikhlas.
Rujukan: Mawaqit Ibadah Zamaniah wal Makaniah oleh Dr Nizar Mahmud dan Fathul Bari oleh Ibnu Hajar Asqalani.



No comments:

Post a Comment