Pages

Saturday, 3 January 2015

MUSIBAH CEMBURU KETERLALUAN

3cemburu.transformed

ISTERI ibarat harta yang perlu dijaga elak diambil orang. – Foto hiasan
CEMBURU dan marah adalah dua perasaan yang berada di dalam hati setiap manusia. Apa yang menjadi isu ialah bagaimana cara kita menghadapi dan mengatasi perasaan negatif yang terbit dalam hati manusia.
Memang menjadi fitrah dalam hidup manusia menghadapi kedua-dua perasaan ini, iaitu sama ada orang berasa cemburu dan marah dengan kita ataupun kita yang berasa cemburu dan marah terhadap orang lain.
Tetamu segmen Usrati minggu ini, Ustaz Muhammad Fahmi Mohamed Amin menjelaskan perasaan cemburu ini timbul daripada rasa cinta atau rindu seseorang itu kepada orang lain.
Sebaliknya, bagi seseorang yang tidak mempunyai rasa cinta, perkataan cemburu langsung tidak timbul dalam dirinya. Begitu juga dengan pernikahan di antara suami dan isteri, tidak akan wujud kebahagiaan dalam kehidupan mereka sekiranya tidak wujud rasa cinta dan sayang antara kedua-duanya.
Takut harta diambil orang
Ustaz Muhammad Fahmi mengibaratkan seseorang yang cemburu itu adalah seperti orang yang mempunyai harta dan berasa takut hartanya diambil orang.
Oleh sebab itu harta itu akan dijaga dengan baik supaya sentiasa selamat berada dalam genggamannya. Begitulah juga dengan seseorang yang berasa cemburu terhadap orang lain yang mungkin akan merampas haknya, sama ada pasangan, harta, masa dan sebagainya.
Perasaan cemburu bermula daripada perasaan bimbang di dalam hati seseorang terhadap haknya yang berkemungkinan besar tidak tertunai.
Perasaan cemburu di dalam hati juga adalah salah satu cara Allah SWT mendidik hamba-Nya mengingati bahawa setiap nikmat yang dikurniakan di dunia ini adalah sementara sahaja dan bila-bila masa sahaja Allah berhak untuk mengambilnya semula.
Kebiasaannya apabila perasaan cemburu timbul di dalam hati, kita cenderung untuk menyalahkan orang lain atau persekitaran berbanding melihat dan muhasabah diri sendiri.
Jaga aurat isteri
Sebagai contoh, seorang suami yang sayang kepada isterinya tidak sepatutnya membiarkan isterinya itu memakai pakaian tidak menutup aurat dan bergaul bebas tanpa batasan.
Mana mungkin harta yang disayangi, yang ditakuti diambil orang dibiarkan tanpa pengawalan di tepi jalan. Sudah pasti harta itu akan diambil orang atau sekurang-kurangnya diawasi oleh banyak mata yang melihat. Begitulah juga halnya dengan seorang isteri yang disayangi tidak patut dibiarkan bebas tanpa pengawasan. Keadaan ini akan mengundang kepada timbulnya perasaan cemburu.
Setiap manusia, lelaki atau wanita akan ada rasa cemburu di dalam hati mereka, bahkan juga isteri kepada Rasulullah SAW.
Diriwayatkan oleh Anas dari Sahih Bukhari, dalam satu kisah pernah sekali ketika giliran Rasulullah SAW bersama Aisyah, isteri Baginda yang lain bernama Zainab menghantar makanan kepada Baginda melalui seorang khadam.
Namun, Aisyah berasa sedikit terganggu kerana pada ketika itu adalah gilirannya dengan Rasulullah. Lantas Aisyah menolak makanan yang dihantar lalu jatuh dan pinggan yang digunakan untuk membawa makanan itu pecah.
Rasulullah sedikit pun tidak menunjukkan rasa marah, malah Baginda sendiri mengutip serpihan pinggan yang pecah dan memberitahu kepada khadam untuk makan makanan yang dibawa itu. Kemudian Baginda menggantikan pinggan yang pecah itu dengan pinggan baru.
Cemburu berlebihan jadi musibah
Perasaan cemburu di dalam hati manusia adalah fitrah, namun cemburu yang berlebihan dan tidak berasas boleh mendatangkan musibah.
Sabda Nabi SAW bermaksud: “Rasa cemburu ada yang disukai Allah dan ada pula yang tidak disukai-Nya. Kecemburuan yang disukai Allah adalah yang disertai alasan yang benar. Sedangkan yang dibenci ialah yang tidak disertai alasan yang benar (cemburu buta).” (Riwayat Abu Daud).
Perasaan cemburu yang dibenci Allah SWT adalah cemburu yang berlebihan atau cemburu buta dan membawa kepada tohmahan, iaitu menyebabkan keraguan dan buruk sangka hingga akhirnya membawa kepada hasad dengki.
Cemburu buta boleh mendatangkan kesan besar dalam kehidupan seseorang yang akhirnya boleh memutuskan hubungan suami isteri, kekeluargaan, persahabatan dan juga mengakibatkan kes jenayah.
Kisah Imam Sibawaih boleh dijadikan teladan. Beliau seorang yang sangat mencintai ilmu dan menghabiskan masa menulis kitab hingga akhirnya menimbulkan rasa cemburu di dalam hati isterinya dengan merasakan dirinya tidak dipedulikan.
Pada suatu hari isterinya membakar kitab sedang diusahakan beliau. Namun Imam Sibawaih tidak berasa marah, malah menulis semula kitab itu sehingga menjadi lima jilid dan menjadi rujukan sehingga kini.
Perasaan cemburu yang berlaku disebabkan dunia adalah sia-sia kerana dunia itu sendiri adalah sementara seperti firman Allah SWT di dalam Surah at-Taubah, ayat 24 yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa, anak-anak kamu, saudara-saudara kamu dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu bimbang akan kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya).” Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik (derhaka).”
Penulis ialah Penyampai dan Penerbit Rancangan Kanan IKIMFM
-BHonline

No comments:

Post a Comment