Pages

Friday, 5 December 2014

#RCISABAH : KDN SAHKAN SABAH KINI BEBAS KARTEL 'IC PALSU' - @Zahid_Hamidi


Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini mengesahkan Sabah kini bersih daripada sindiket penghasilan kad pengenalan tidak sah.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata tindakan proaktif yang diambil pihaknya bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah dapat memastikan operasi kartel haram di negeri itu dibanteras sepenuhnya.

Beliau turut berharap agar orang ramai dapat memaklumkan kepada pihak berwajib sekiranya perkara sedemikian masih wujud agar langkah sewajarnya dapat dijalankan.

"Tapi jika masih ada individu yang terbabit maka kami mahu supaya orang ramai memaklumkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) atau JPN untuk tindakan pemantauan dan perundangan," kata beliau pada sidang media Sambutan Hari Inovasi KDN di sini sebentar tadi.


Pada masa sama, Jabatan Imigresen akan melancarkan operasi secara agresif di Sabah dalam tempoh terdekat bagi mengesan  dan menangkap pendatang asing tanpa izin (Pati) berikutan pengumuman hasil siasatan Suruhanjaya Siasatan Pendatang Asing Sabah (SSPAS), pada Rabu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mustafa Ibrahim berkata, pihaknya sudah mengenal pasti kawasan yang dianggap panas dalam operasi berkenaan terutama di Sandakan, Tawau dan Kota Kinabalu.

Katanya, agensi itu tidak akan menunggu sehingga penubuhan jawatankuasa tetap dan jawatankuasa kerja yang disyorkan dalam laporan SSPAS, bagi melancarkan operasi itu kerana yang penting isu Pati di Sabah dapat diselesaikan.

"Saya nak tegaskan operasi (menangkap Pati) berterusan. Sebelum prosiding SSPAS dan semasa prosiding serta selepas prosiding pun kita memang buat operasi menahan dan menghantar pulang Pati. Operasi akan berterusan seperti biasa mengikut undang-undang sedia ada.

"Jabatan Imigresen mengambil sikap positif kepada laporan SSPAS. Selain menjalankan operasi biasa, SSPAS akan menjadi panduan kepada operasi Imigresen di Sabah," katanya kepada pemberita selepas melawat pejabat cawangan Imigresen di Pusat Transformasi Bandar (UTC), di Kota Kinabalu pada Khamis.

Mustafa berkata, jumlah kakitangan Jabatan Imigresen di Sabah berupaya melaksanakan tugas itu dan jika perlu, agensi itu akan bekerjasama dengan agensi penguat kuasa lain di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

Katanya, Jabatan Imigresen juga akan memperkasa unit risikannya di Sabah bagi mengesan lokasi dan aktiviti Pati selain meningkatkan keupayaan pelaksanaan sistem biometrik di tujuh pintu masuk utama rakyat asing di Sabah.

Sementara itu, Mustafa berkata, seramai 17,086 Pati di Sabah telah dihantar pulang ke negara asal dari Januari hingga November tahun ini, dengan 13,397 daripadanya warga Filipina, Indonesia (3,435) dan selebihnya dari negara lain.

Dalam perkembangan lain, Mustafa, yang membuat lawatan sulungnya ke Sabah sejak dilantik ke jawatan itu pada 14 November lepas, memberi amaran bahawa tiada tempat dalam agensi itu bagi mana-mana pegawai dan anggota yang melindungi Pati.

Katanya, agensi itu akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui Unit Integriti yang dianggotai pegawai SPRM di Jabatan Imigresen bagi memantau perilaku setiap pegawai dan anggotanya.

No comments:

Post a Comment