Pages

Saturday, 13 December 2014

PEMBANGKANG TIDAK PUAS HATI LAPORAN #RCISABAH


KOTA KINABALU – Pemimpin pembangkang menyifatkan pengumuman kerajaan berhubung laporan Suruhanjaya Siasatan Pendatang Asing di Sabah yang dibentangkan kepada media pada 3 Disember lalu sebagai tidak menyeluruh.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, malah penubuhan Jawatan Kuasa Tetap Mengenai Pendatang Asing di Sabah dan Jawatankuasa Pengurusan Pendatang Asing yang dipersetujui kerajaan juga masih tidak memuaskan hati pemimpin pembangkang.

Menurutnya, DAP masih tidak berpuas hati dengan laporan itu kerana ia sekadar satu 'rumusan' daripada siasatan suruhanjaya berhubung isu pendatang asing di negeri ini.

Dakwanya, orang ramai terutama penduduk di Sabah mahukan satu laporan penuh dikemukakan, termasuk laporan berhubung kenyataan atau keterangan saksi sebelum proses siasatan yang didakwa sebanyak 5,000 muka surat.

“DAP akan membuat laporan polis berhubung perkara ini, seterusnya membawa ke peringkat Parlimen bagi sesi perdebatan,” katanya ketika berucap dalam majlis Harapan untuk Sabah atau Tangisan untuk Sabah di sini.

Yang hadir sama, Pengerusi DAP Sabah, Jimmy Wong Sze Phin; bekas Timbalan Presiden Parti Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), Datuk Wilfred Bumburing yang kini Pengerusi Angkatan Perubahan Sabah (APS) dan Pengerusi Parti Reformasi Negeri (STAR) Sabah, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan.

Kebanyakan peserta yang hadir juga didapati meninggalkan dewan sebelum majlis selesai, malah ketika sesi soal jawab hanya terdapat 30 orang yang masih berada di dalam dewan.

Sementara itu, Bumburing mempersoalkan peranan dua jawatankuasa yang ditubuhkan oleh kerajaan bagi menangani masalah pendatang asing di negeri ini.

Pemimpin pembangkang itu juga mempersoalkan tempoh masa yang akan diambil jawatankuasa tersebut untuk bertindak menyelesaikan isu pendatang asing di Sabah dan dakwaan kemungkinan wujud 'Projek IC'.

Bumburing turut mempersoalkan laporan yang akan dikemukakan oleh Jawatankuasa Pengurusan Pendatang Asing yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan kepada Menteri Dalam Negeri sama ada akan diteliti sepenuhnya atau tidak.

"Adakah Kementerian Dalam Negeri mempunyai masa terluang untuk melihat semua laporan ini? Adakah Jawatankuasa Pengurusan Pendatang Asing mampu mengendalikan semua ini dan berapa lama masa akan diambil?" katanya.

Selain itu, Bumburing turut mengkritik terjemahan bahasa Melayu yang dilakukan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Pendatang Asing di Sabah dan menyifatkannya sebagai 'tindakan menterjemah secara terburu-buru'.

No comments:

Post a Comment