KISAH kali ini yang menceritakan penderitaan mental dan fizikal yang dialami oleh Umairah (bukan nama sebenar) pastinya benar-benar membuatkan kaum wanita khususnya golongan ibu geram, sakit hati, benci, marah dan geli dengan perangai lelaki atau bapa yang berkelakuan seperti haruan makan anak.
Kisah ini diceritakan oleh seorang teman mengenai anak muridnya yang ditemui semasa mengikuti sebuah kursus.
Menurut teman ini, Raziah (juga bukan nama sebenar), dia tidak pernah menyangka Umairah mengalami masalah yang begitu berat pada usia yang masih terlalu muda remaja, iaitu 18 tahun.
Katanya, Umairah, nampak seperti remaja lain cuma dia agak pendiam. Satu malam, selepas selesai makan malam, Raziah akan melayani kumpulan muridnya dan berbual-bual dengan mereka.
Setelah hampir waktu untuk masuk tidur, Raziah pun mula hendak beredar, tiba-tiba Umairah mendekatinya dan berkata hendak berjumpa dengannya esok malam.
Hati Raziah mula berdebar-debar dan terfikirkan perkara buruk, namun dia tidak mendesak dan menunggu esok malam.
Keesokannya seperti dijanjikan, mereka berjumpa.
“Cikgu, saya mempunyai masalah yang sangat berat dan tidak tertanggung lagi. Sebenarnya cikgu, bapa saya telah ‘memakai’ saya sejak saya berumur lapan tahun sehingga sekarang.
“Emak tidak tahu dan saya tidak berani hendak memberitahu emak. Ayah mengugut jika saya memberitahu emak, dia akan melakukan yang lebih buruk daripada itu. Saya tidak mempunyai pilihan selain mendiamkan diri.
“Semasa saya hamil pun, ibu tidak perasan sehinggalah kandungan saya berusia tujuh bulan. Selepas itu ayah membawa saya ke tempat lain dan menyembunyikan saya sehingga saya bersalin. Apabila emak bertanya di mana saya, ada sahaja alasannya.
“Perkara ini saya pendamkan bertahun-tahun. Akibat perbuatan ayah, saya telah melahirkan dua orang anak. Kedua-dua bayi ini ayah jual kepada orang sebaik dilahirkan dengan harga RM3,000 seorang,” kata Umairah kepada Raziah.
Raziah terus bertanya kepada Umairah. Dia seperti tidak percaya ada juga bapa yang berperangai seperti haiwan.
Sambung Umairah lagi, selain pernah melahirkan dua orang anak, dia juga pernah dua kali menggugurkan anak, malah ayahnya sendiri yang melakukan pengguguran tersebut.
“Bukan saya sahaja yang menjadi korban ayah malah dua orang adik juga pernah cuba diperkosa, namun mereka menjerit dan mengugut hendak memberitahu emak.
“Saya benci dengan ayah. Tidak cukup dengan empat isteri, anak-anak juga hendak dijadikan tempat pelampias nafsu. Saya tidak tahu dengan siapa hendak mengadu. Saya lihat keempat-empat isteri ayah juga seperti kerbau dicucuk hidung,” ujar Umairah.
Termenung Raziah mendengar cerita Umairah dan terus teringat semasa perjumpaan pelajar bersama keluarga beberapa minggu sebelum itu lalu.
Dia terlihat bapa Umairah yang datang bersendirian dan dilihat agak pelik kerana kerap mengurut-ngurut belakang dan lengan anak perempuannya itu.
Walau semesra mana pun hubungan antara bapa dan anak, tidaklah sampai mengurut-ngurut belakang dan lengan anak dengan cara yang agak kurang manis.
Umairah pula dilihat amat tidak selesa dengan perlakuan bapanya dan cuba mengelak-ngelak.
Setelah mendengar cerita Umairah daripada mula hingga akhir, Raziah memberitahu Umairah dia akan membuat laporan polis.
Mulanya Umairah tidak bersetuju tetapi kata Raziah, kesalahan ayahnya begitu berat dan tidak boleh dimaafkan.
Semasa polis datang menangkap ayah Umairah, dia nampak seperti orang bodoh dan tidak membantah langsung.
Entah dia buat-buat atau dia memang begitu, tidak tahulah. Lebih menyakitkan hati apabila dia menjawab kata-kata anggota polis yang menangkapnya.
“Encik, kalau kita tanam rambutan pun bila sudah berbuah kita hendak merasa dahulu. Macam itulah juga dengan saya,” kata ayah Umairah.
Ayah Umairah telah disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup. Sementara Umairah yang tamat sekolah dan cuba melupakan kisah pahitnya mendapat pekerjaan di sebuah hospital swasta, lapor Utusan.
No comments:
Post a Comment