Pages

Wednesday, 31 December 2014

KELUHAN PENIAGA DI KOTA BHARU : "SUDAH JATUH DITIMPA TANGGA"

'Sudah jatuh ditimpa tangga'. Itu peribahasa yang menggambarkan situasi yang dihadapi golongan peniaga di sekitar bandar Kota Baharu ketika ini berikutan banjir.
Terdapat kalangan orang ramai yang tidak berperikemanusiaan mengambil peluang memecah masuk beberapa premis perniagaan yang dinaiki air dan mengambil barang berharga.
Menurut polis, enam premis perniagaan di daerah ini dipecah masuk sejak banjir melanda negeri ini pertengahan Disember lepas, dan lima individu berumur antara 12 dan 30 tahun ditahan.
Seorang pemilik kedai haiwan peliharaan di Wakaf Che Yeh, Mohd Fadzil Mat Sulung, 57, berkata memang perkara yang menyedihkan pada banjir kali ini apabila ada yang sanggup memecah masuk kedai dan mencuri.
"Memang tak patut perkara ini berlaku, peniaga dah rugi sebab barang rosak ditambah pula ada barang dicuri.
"Peniaga terpaksa menanggung kerugian berganda kerana ia satu kerugian yang tidak dijangka sedangkan kalau barang kena air boleh lagi dijual dengan harga murah," katanya.
Fadzil berkata akibat banjir kali ini beliau terpaksa menanggung kerugian lebih RM100,000 selepas haiwan dan kelengkapan di kedainya musnah.
"Saya tidak sangka banjir kali ini telah menenggelamkan kedai. Habis semua binatang peliharaan di kedai saya seperti kucing, ikan, burung dan ayam mati," katanya.
Sementara itu, seorang peniaga kedai perkakas rumah, Yong Yok Fan, 58, berkata beliau terpaksa melelong barang yang rosak akibat banjir.
"Saya jual barang yang rosak macam berus cat, bahan pencuci kimia dan lain-lain dengan harga RM2 sehingga RM5.
"Memang tak ada apa yang dapat dilakukan. Saya rugi kira-kira RM10,000 akibat banjir kali ini," katanya.
Tinjauan Bernama di sekitar bandar Kota Baharu mendapati para peniaga mula mengemas premis perniagaan masing-masing selepas air banjir di bandar ini mulai surut.
Selain itu, kelihatan pelbagai agensi berkaitan seperti Majlis Perbandaran Kota Baharu-Bandar Raya Islam serta Jabatan Kerja Raya membersihkan jalan yang dipenuhi lumpur dan sampah akibat banjir.

No comments:

Post a Comment