Pages

Wednesday, 3 December 2014

ISU PATI : RAKYAT SABAH MENARUH HARAPAN TINGGI KEPADA RCI #RCISABAH


Rakyat Sabah menaruh harapan tinggi menjelang pengumuman laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai masalah pendatang asing tanpa izin (Pati) di negeri itu pada hari ini yang akan menjadi jalan penyelesaian kepada isu berdekad lamanya itu.

Masalah tersebut berkembang daripada isu sosio ekonomi dan ancaman keselamatan untuk menggantikan demografi etnik pelbagai kaum di Sabah.

Sabah dimasuki kumpulan perlarian pertama iaitu mereka yang  melarikan diri dari perang saudara di selatanFilipina pada lewat 1960-an diikuti migran ekonomi dari Filipina, Indonesia, Pakistan dan India pada awal 1980-an.

Laporan yang ditunggu-tunggu sekian lama itu dijangka menggariskan beberapa cadangan mengenai pendekatan yang diambil oleh kerajaan Persekutuan dan negeri untuk membendung masalah Pati di negeri tersebut.

Ia juga mungkin menggariskan maklumat latar belakang yang relevan mengenai dakwaan penipuan kad pengenalan dan bagaimana pendatang menjadi beban kepada negeri Sabah yang kini mencatatkan peningkatan penduduk hampir 40 peratus sejak empat dekat lalu.

Ramai rakyat Sabah dan barisan kepimpinan negeri itu berkata, mereka ingin melihat tindakan diambil terhadap mereka yang terlibat dalam isu yang disifatkan sebagai 'ibu kepada segala masalah' di negeri tersebut.

Barisan Nasional (BN) Sabah menubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang diketuai oleh Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan untuk mengkaji hasil penemuan dan menyelaraskan langkah-langkah yang dicadangkan dalam laporan RCI.

Pemangku Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) Datuk Wilfred Tangau berkata, parti itu mahu tindakan segera diambil selepas penemuan RCI diumumkan.

"Kami tidak mahu terus bercakap mengenai isu ini tanpa sebarang tindakan diambil," katanya.

Timbalan Ketua Umno Sabah, Datuk Salleh Tun berharap cadangan RCI akan menyenaraikan pendekatan jangka masa pendek dan jangka masa panjang untuk menangani masalah itu.

Isu tersebut yang semakin meruncing menyebabkan Upko dan Parti Maju Sabah (SAPP) meminta pengeluaran kad pengenalan yang baharu di negeri itu untuk membanteras 'kerakyatan pintu belakang' diberikan kepada pendatang asing.

Ketua Penerangan Upko, Albert Bingkasan berkata parti BN bersetuju untuk bekerjasama dengan barisan panel yang diketuai oleh Pairin untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Datuk Teo Chee Kang berkata, pemimpin Sabah mesti berani dalam melaksanakan langkah-langkah yang disyorkan.

"Apa sahaja kebenaran yang menyusahkan yang didedahkan di dalam laporan tersebut, kerajaan mentadbir pada hari ini perlu mengambil pendekatan drastik untuk mengatasi masalah itu selama-lamanya," katanya.

Setiausaha Agung Parti Bersatu Rakyat Sabah, Datuk Johnson Tee berkata:'Pelaksanaan dan penguatkuasaan adalah aspek paling penting. Tiada gunanya jika hanya bercakap mengenai masalah itu.

Presiden Gerakan Angkatan Perubahan Sabah (APS), Datuk Wilfred Bumburing berkata perlu ada pelan kukuh untuk menyelesaikan masalah itu dan tempoh masa ditetapkan untuk melakukannya.

"Sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah perlu diadakan untuk membincangkan mengenai perkara ini kerana ia amat penting untuk penduduk di negeri ini," katanya.

Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee berkata pengumuman itu telah lama tertangguh dan menimbulkan keraguan sama ada penemuan itu boleh digunakan untuk menyelesaikan masalah tersebut.

No comments:

Post a Comment