Pages

Tuesday, 16 December 2014

ISU KALIMAH ALLAH : LIM GUANG ENG SEGAJA TIMBULKAN PROVOKASI


Sikap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang berterusan mahu membenarkan orang bukan Islam di negeri itu menggunakan kalimah Allah disifatkan sebagai satu tindakan yang disengajakan sebagai provokasi kepada kerajaan pusat khususnya.

Penganalisis politik tempatan, Prof. Datuk Dr Abdul Halim Sidek melihat perkara tersebut sengaja ditimbulkan dalam suasana masyarakat majmuk dengan isu yang dibawa adalah sesuatu yang serius dan boleh merosakkan perpaduan dalam masyarakat.

“Saya yakin, Guan Eng sebagai pemimpin politik bukanlah seorang yang tidak faham atau benar-benar tidak tahu berkaitan sensitiviti masyarakat namun perkara tersebut sengaja ditimbulkan sebagai usaha mereka untuk penerusan agenda politiknya,” katanya kepada UMNO-Online.

Alasan yang diberikan oleh Guan Eng, larangan penggunaan kalimah Allah yang termaktub dalam enakmen tidak terpakai kepada orang bukan Islam kerana penguatkuasaannya hanya sah kepada orang Islam.

“Tindakan tersebut telah mencabar undang-undang yang diwartakan Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang yang tentunya Guan Eng sedar tentang perkara tersebut maka persoalan apa motif atau agenda tindakan membenarkan penggunaan kalimah tersebut dibuat tentunya Guan Eng yang tahu.

“Saya yakin, Guan Eng bukan tidak tahu tentang perkara terbabit sebaliknya dia menggunakan hal tersebut sebagai isu provokasi terbaharu dan sekiranya hal tersebut berterusan menjadi bahan polemik maka kerajaannya berjaya lari dari realiti sebanar.”

Beliau yang juga pensyarah undang-undang di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) berkata tentunya Guan Eng menjadikan hal tersebut sebagai cara terbaik bagi mereka untuk melepaskan diri dari kecaman atau kritikan pelbagai pihak terhadap pentadbirannya terutama berkaitan penyusutan nilai pelaburan dan perbelanjaan difisitnya selain kegagalan dalam melunaskan pelbagai manifesto untuk rakyat.

Isu_Kalimah_Allah_Rakyat_News“Ini adalah satu tindakan yang disengajakan sebagai taktik politiknya bagi mewujudkan provokasi terutamanya kepada pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN) agar sekiranya ada yang melatah atau tersilap langkah maka ia akan dapat dijadikan sebagai senjata untuk menyalahkan pihak lain.

“Bukankah hal-hal sedemikian sememangnya sudah menjadi sebahagian dalam cara politik mereka iaitu cuba mengaburi keadaan dengan menimbulkan provokasi agar dapat mengalihkan fokus orang ramai termasuklah media massa daripada tertumpu kepada pengurusan pentadbiran mereka,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta mana-mana pihak agar tidak terjerat dengan taktik sedemikian sebaliknya mengambil pendekatan terbaik bagi memastikan tidak ada yang menjadi mangsa politik dangkal sebagaimana pendekatan Dap.
MediaUMNO

No comments:

Post a Comment