Pages

Monday, 8 December 2014

ISU BIBLE BERGEMA SEMULA DI SELANGOR !!!


Sepanjang Ahad antara yang hangat di laman facebook ialah gambar-gambar Menteri Besar Selangor Azmin Ali dan bos politiknya Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada satu majlis anjuran Holy Family Church di Kajang.

Kebanyakan komenter berkisar kepada senario majlis dimana pihak gereja nampak macam bagi penghormatan sakan pada dua pimpinan utama PKR itu.

Pada majlis itu pihak gereja juga menyampaikan sumbangan kepada orang Melayu.

Mesej yang ingin disampaikan oleh kalangan mereka yang ragu pada semua ini ialah 'biar gambar bicara'.

Maksud mereka tengok dan nilai sendiri dari gambar-gambar itu.

Tolak sebelah apa jua persepsi yang mungkin terbit dari majlis itu...namun di celah nilai gelak ketawa dan tepuk tampar antara dua taiko utama PKR dan paderi Holy Family Church rupanya ada yang belum beres lagi antara pihak Pertubuhan Bible Malaysia dengan kerajaan negeri Selangor.

Ini berkaitan dengan Bible berbahasa Melayu dan Iban yang dirampas oleh Jabatan Agama Islam (JAIS) dari pejabat Pertubuhan Bible Malaysia pada 2 Januari lalu.

Asalnya ramai yang menduga isu ini telah menemui jalan penamatnya dan tutup buku menerusi majlis simbolik penyerahan balik naskah Bible yang dirampas itu di Istana Alam Shah,Kelang pada 14 November lalu yang dihadiri oleh Sultan Selangor dan Azmin.

Azmin telah mendapat pujian melambong oleh kalangan pimpinan pembangkang kerana dikatakan berjaya menyelesaikan segera isu itu berbanding mantan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.

Sudah selesai isu serah balik,kini timbul pula hal bila Pertubuhan Bible Malaysia tidak puashati adanya cop melarang pengedaran di Selangor pada naskah-naskah Bible yang dirampas.

Cop yang dipertikaikan itu bertulis :
“Penggunaan terhad kepada orang bukan Islam sahaja dan tidak boleh diterbitkan atau digunakan di mana-mana bahagian dalam negeri Selangor selaras dengan Seksyen 9(1) Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan dan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) 1988. ”

Bagi Pertubuhan Bible Malaysia cop berkenaan mencemar kesucian Bible.

"Kami tuntut permohonan maaf daripada pihak berkuasa agama Selangor kerana mencemarkan kitab suci kami, selepas menyerbu premis kami awal tahun ini,” kata Presiden Pertubuhan Bible Malaysia ,Datuk Ng Moon Hing.

Gara-gara ini selepas majlis di Kajang itu Azmin terus diasak oleh wartawan yang ingin tahu apa komennya.

Menteri Besar itu nampak macam hendak mengelak diri terperangkap dalam kontroversi baru yang sedang membara ini.

Beliau mengambil jalan mudah dengan meminta para wartawan jangan panjangkan isu Bible yang dirampas itu.

Katanya isu Bible yang dirampas itu sudah selesai dan jangan cetuskan provokasi.

Menilai dari kenyataan Presiden Pertubuhan Bible Malaysia nyata itu bukan jawapan yang mereka mahu dengar.

Keadaan sudah jadi macam ada saja yang tidak kena.

Setakat ini tidak dapat dipastikan pihak berkuasa agama negeri Selangor yang mana - samaada JAIS atau Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang letak cop larangan pada nasoah-naskah Bible berkenaan.

Andaian yang selamat mungkin pihak berkuasa agama negeri yang berkenaan ada alasan tersendiri mengapa letak cop larangan pada naskah-naskah Bible yang dipulangkan itu.

Lojiknya ia untuk elak kemungkinan Bible yang berkenaan diedar semula di negeri itu.

Sebaliknya Pertubuhan Bible Malaysia bertegas kata cop berkenaan mencemar kitab suci mereka.

Kini semua orang nak tengok apa langkah Azmin selepas ini.Disebelah mana kakinya hendak diletak.Disebelah pihak gereja atau pihak berkuasa agama negeri.

Apakah beliau hendak mengarahkan pihak berkuasa agama negeri yang berkenaan memohon maaf seperti yang dituntut Pertubuhan Bible Malaysia.

Kalau melibatkan MAIS ia badan yang jauh lebih tinggi dari JAIS yang berstatus sebuah jabatan.

MAIS adalah dibawah naungan Sultan Selangor selaku ketua agama negeri.
AgendaDaily

No comments:

Post a Comment