Pages

Friday, 19 December 2014

DOA SURAH AL BAQARAH AYAT 201 MEMOHON KEBAIKAN DUNIA DAN AKHIRAT


Ada satu kisah taubat yang hebat yang dicatatkan dalam kitab Al-Isabah Fi Tamyiz As-Sahabat oleh Imam Ibn Hajar. Sahabat ini bernama Sa’labah bin Abdul Rahman, dan dia diamanahkan membuat satu kerja oleh Nabi SAW.
Ketika dalam tugasan itu, dia ternampak aurat seorang wanita yang sedang mandi. Dia melihatnya sehingga 3 kali kerana kuatnya tarikan maksiat itu. Dia kemudian tersedar, beristighfar dan berasa sangat malu kepada Allah. Dia menjadi sangat risau kerana dia adalah orang yang rapat kepada Nabi SAW, dan dia malu jika ada wahyu diturunkan menceritakan kesalahannya kepada Nabi SAW.

Lalu, dia pun melarikan diri bersembunyi ke pergunungan sehingga Nabi SAW pun tercari-cari. Setelah hampir 40 hari, Nabi SAW mengarahkan sahabat, ‘Umar dan Salman, pergi mencarinya, dan diriwayatkan bahawa Jibril datang kepada Nabi dan berkata, “Ada seorang daripada kamu yang bersembunyi di pergunungan dan meminta keampunan daripada Allah dan takut kepada api neraka”.

Dikatakan bahawa Sa’labah berdoa dengan mengangkat kedua-dua tangannya dan meminta Allah mematikannya dalam keadaan bertaubat, dan agar dia dilindungi daripada tidak berpakaian di akhirat nanti kerana dosanya melihat wanita tidak berpakaian.

Doa Surah al Baqarah Ayat 201 Memohon Kebaikan Dunia Dan Akhirat 



‘Umar dan Salman menemui Sa’labah, tetapi dia keberatan bertemu Rasulullah SAW, dan berharap agar kembali ketika Nabi SAW sedang menunaikan solat. Permintaanya itu dikabulkan, dan mereka sampai ketika Nabi SAW sedang mengerjakan solat sunat Dhuha. Maka mereka pun menunggu sehingga Nabi SAW selesai solat.

Setelah selesai, Nabi SAW pun melihat Sa’labah dan bertanya apa yang berlaku. Dalam keadaan malu, Sa’labah menceritakan apa yang berlaku. Kemudian, Nabi SAW berkata, “Kamu nak tak aku ajarkan satu doa yang dapat memadam dosa-dosa dan kesilapan yang lalu?” Jawab Sa’labah, “Sudah pasti, Ya Rasulullah”.


Lalu Nabi SAW mengajarkan doa, 

"Rabbana atina fiddunya hasanah wa fil akhiroti hasanah waqina 'adzabannar", seperti yang dipetik daripada ayat 201, surah Al-Baqarah:


Maksudnya:

Wahai Tuhan Kami, berikanlah Kami kebaikan di dunia dan di akhirat, dan peliharalah Kami dari azab api neraka.

Setelah mendengar doa itu, Sa’labah berkata, “Tetapi, dosaku besar sungguh”. Nabi SAW pun berkata, “Ayat Allah lebih besar”. 

Sa’labah pun balik dan mengamalkan doa itu, tetapi hatinya remuk dan masih tidak berasa tenang dengan dosa yang telah dilakukannya itu. Dia menangis siang dan malam sehinggalah jatuh sakit. Setelah 8 hari sakit, sahabat memberitahu kepada Rasulullah SAW dan mereka pun pergi melawat Sa’labah. Ketika melawatnya, Rasulullah SAW meletakkan kepada Sa’labah ke atas ribaannya, tetapi Sa’labah mengangkat dan mengalihkan kepalanya. Nabi SAW pun bertanya, “Kenapa kamu mengalihkan kepalamu daripada ribaanku?”. Jawab Sa’labah, “Kerana aku terlampau berdosa”.

Kemudian Nabi SAW bertanya lagi, “Apakah yang kamu inginkan?”. Jawabnya, “Aku hanya inginkan keampunan daripada Allah SWT”. Selepas itu, Jibril pun turun memaklumkan kepada Nabi SAW bahawa Allah berkata, “Sekiranya dia ini datang kepada-Ku dengan dosa yang sebesar bumi sekalipun, maka Aku akan memberi sebesar bumi juga keampunan-Ku”. Perkara ini pun diberitahu kepada Sa’labah dan ketika itu juga dia pun nazak dan meninggal dunia. Ketika menghantar jenazahnya ke kubur, sahabat melihat Nabi SAW berjalan bertinjit-tinjit (berjalan dengan hujung jari kaki dengan berhati-hati seolah-olah tidak ingin melanggar sesuatu). Lalu ditanya oleh sahabat mengapa Nabi SAW berjalan sebegitu rupa. Baginda pun menjawab, “Kerana terlalu ramainya malaikat yang bersama-sama tadi, lalu aku takut terpijak kepak-kepak dan sayap mereka”.

Subhanallah...begitu hebatnya kisah permohonan sahabat Rasulullah itu yang bernama Sa'labah hinggakan pada hari kemangkatannya banyak sekali malaikat ikut menghantar jenazahnya! Begitu hebat permohonan taubat seorang hamba yang begitu malu dengan perbuatan dan dosa silamnya. Kerana doanya kepada Allah agar dimatikan dirinya dalam keadaan bertaubat, Allah swt memakbulkan doanya dan berakhir dengan khusnul khotimah.

Marilah sama-sama kita mengamalkan doa dari surah al Baqarah ayat 201ini yang dapat memadam dosa-dosa Islam kita, dengan izin Allah.


No comments:

Post a Comment