Pages

Tuesday, 9 December 2014

ALLAHYARHAM DATUK FUAD HASSAN DALAM KENANGAN : IKUTI LUAHAN TAN SRI MUSA HASSAN & DATUK JALALUDDIN HASSAN !!!


“Kenangan paling dirindui adalah ketika kami remaja dan bersama-sama terjun ke dalam Sungai Bonus di ibu negara”.

Memori itulah yang sering bermain-main di fikiran bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan ketika ditanya tentang kenangan manis bersama adiknya, Allahyarham Datuk Fuad Hassan, 62, yang juga Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang meninggal dunia akibat serangan jantung, awal pagi Isnin.

Ujar Tan Sri Musa yang merupakan anak sulung, beliau dan adiknya itu mesra sejak dari kecil sehinggalah ke usia emas malah mereka berdua saling mengambil berat antara satu sama lain.

“Sudah tentu ketiadaannya sungguh dirasai kerana antara kami adik-beradik begitu rapat. Arwah adalah rakan saya dan setiap aktiviti kami akan bersama-sama.

“Antara kenangan kami adalah terjun ke dalam Sungai Bonus untuk mandi manda yang masih segar dalam ingatan saya lagi,” katanya ketika ditemui pada majlis pengebumian Allahyarham di Ampang Isnin.

Tan sri Musa memberitahu, Allahyarham juga sentiasa berusaha untuk merapatkan hubungan adik-beradik memandangkan keluarga mereka yang besar.

Tan Sri Musa sempat mengadakan ceramah bersama adiknya itu kira-kira dua minggu lalu selepas dijemput untuk memberikan ucapan berhubung isu keselamatan kepada deligasi dan wartawan dari luar negara.

Jelas Tan Sri Musa, itu adalah kali terakhir mereka bekerjasama dan menyifatkan adiknya itu sebagai seorang yang berdedikasi terhadap kerjaya dan mempunyai hubungan rapat dengan semua ahli keluarga.

Allahyarham meninggalkan dua orang balu dan 10 orang anak yang berusia antara empat hingga 35 tahun.

Sementara itu, anak sulung Allahyarham, Mohamad Farid berkata, bapanya rebah ketika menghadiri satu majlis anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang turut dihadiri Ahmad Shabery, Sabtu lalu.

Ditanya tentang kenangan bersama bapanya itu, beliau berkata, bapanya seorang yang tegas dan selalu berpesan kepada anak-anaknya supaya tidak terlalu bergantung dengan orang lain.

Sementara itu, pelakon terkenal Datuk Jalaluddin Hassan redha dengan pemergian abang keduanya.

"Sebaik sahaja mendapat khabar itu saya dan adik-beradik lain bergegas ke sana dan Alhamdulillah kami berada di sisinya pada saat-saat akhir hayatnya dan beliau pergi dengan tenang dan aman," katanya.

Menurutnya, Allahyarham sebagai pendengar setia sekiranya ada dikalangan mereka mempunyai sebarang masalah atau ingin berbincang mengenai sesuatu perkara.

"Allahyarham bukan sahaja seorang abang tetapi beliau juga adalah sahabat baik saya malah hubungan kami memang akrab sejak kecil dan kami tidak pernah berpisah.

"Malah selepas berkahwin kami tinggal berjiran sehingga ke hari ini dan kehilangannya amat meninggalkan kesan dan tiada lagi tempat saya mengadu masalah namun saya redha dengan ketentuan Allah," katanya.

Datuk Jalaluddin berkata, Datuk Fuad pernah berpesan kepadanya supaya memastikan ikatan mereka adik-beradik sentiasa kuat dan meminta beliau menjaga keluarganya yang lain.

"Itu adalah kata-kata yang sering dia pesan kepada saya dan Insya Allah amanat itu akan saya pegang," ujarnya.

Datuk Fuad meninggal dunia akibat serangan jantung pada Sabtu lalu semasa menghadiri majlis penutup sempena Program Pemukiman Transformasi Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) di Awana Kijal, Kemaman, Terengganu.

No comments:

Post a Comment