Pages

Saturday, 6 December 2014

AKTA HASUTAN PERTAHAN KEDAULATAN UNDANG-UNDANG - @shaberyc



KUALA LUMPUR - Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, hari ini mengingatkan rakyat bahawa kebebasan mengeluarkan kenyataan di negara ini adalah dibatasi undang-undang sedia ada.

Beliau berkata, ini bagi memastikan kenyataan yang dikeluarkan termasuk secara dalam talian, tidak melanggari peraturan sedia ada yang berlatarkan Rukun Negara yang menekankan aspek Kesetiaan kepada Raja dan Negara.

"Misalnya, jika kata-kata itu berunsur fitnah, ada undang-undang Akta Fitnah. Kalau ia berunsur hasutan, ada pula undang-undang Akta Hasutan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kelab Kembara Malaysia dan Mesyuarat Agung pertama kelab itu di sini.

Ahmad Shabery berkata demikian ketika ditanya sama ada kementerian akan mengeluarkan garis panduan khas kepada orang ramai dalam mengeluarkan kenyataan termasuk secara dalam talian.

Ini berikutan segelintir pengguna internet mempertikai tindakan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menarik balik Darjah Kebesaran Seri Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (S.S.S.A.) yang membawa gelaran Datuk Seri daripada Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkuat kuasa 3 November lepas.

Ditanya mengenai penarikan balik darjah kebesaran itu, Ahmad Shabery berkata adalah menjadi tanggungjawab rakyat Malaysia menghormati institusi beraja yang fungsi dan peranan mereka diterima sejak sebelum kemerdekaan lagi.

"Malah dalam negara kita, dari segi penganugerahan darjah-darjah kebesaran, ia tidak dianugerah oleh orang-orang politik seperti perdana menteri umpamanya...tetapi oleh Yang di-Pertuan Agong ataupun Raja-Raja.

"Jadi, dalam soal ini, menghormati mereka (Raja-Raja) adalah sebahagian daripada tanggungjawab kita untuk menjadikan institusi itu sentiasa dimuliakan.

"Dan adalah menjadi hak mereka (Raja-raja) juga sekiranya mereka merasakan bahawa ada sesuatu yang tidak kena untuk mereka menarik balik penganugerahan yang mereka berikan. Itu pun harus dihormati," katanya.

No comments:

Post a Comment