Pages

Saturday, 1 November 2014

POLIS TUNGGU ARAHAN PEGUAM NEGARA UNTUK TUNGGU PPS


GEORGETOWN: Polis Pulau Pinang masih menunggu arahan daripada Pejabat Peguam Negara sama ada akan mendakwa 157 anggota Pasukan Peronda Sukarela (PPS) Pulau Pinang yang ditahan pada 31 Ogos lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, pihaknya telah menyiapkan kertas siasatan kes berkenaan dan telah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara.

"Memang mereka (anggota PPS) telah diberi jaminan kedua oleh polis pada Rabu lepas dan sebenarnya tidak timbul isu polis tidak cukup bukti atau sebagainya kerana menyambung jaminan tersebut.

"Sebaliknya polis mengikut prosedur yang sepatutnya iaitu memberi lanjutan jaminan sehingga Pejabat Peguam Negara memberi arahan untuk mendakwa semua anggota PPS berkenaan," katanya.

Abdul Rahim bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Program Inisiatif Whitening Black Spot di kawasan Bukit Gedung, di sini hari ini.

Beliau mengulas dakwaan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang dilaporkan berkata, lanjutan tempoh jaminan untuk kali kedua sehingga 1 Disember ini terhadap anggota PPS itu menunjukkan bahawa peguam negara dan polis tidak ada bukti kukuh semasa menangkap anggota PPS.

Lim turut dilaporkan berkata, bahawa tindakan menangkap mereka adalah sesuatu yang tidak berasas langsung.

Pada 31 Ogos lepas, 154 anggota PPS ditahan kerana ingkar amaran untuk tidak menjalankan aktiviti selepas didapati tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan.

Ini disusuli penahanan anggota exco Kebajikan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar yang merupakan pengerusi PPS, Phee Boon Poh, pada hari yang sama dan Anggota Dewan Undangan Negeri Seri Delima RSN Rayer sehari selepas itu.

Timbalan Pengerusi PPS merangkap Anggota Parlimen Tanjong Ng Wei Aik ditahan pada 4 September. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment