Pages

Monday, 24 November 2014

PERLUKAH UNDANG-UNDANG KESALAHAN SIBER BAHARU ???


KUALA LUMPUR - Kebergantungan rakyat terutamanya golongan muda terhadap media baharu sehingga begitu mudah termakan dakyah-dakyah palsu yang menjadi viral, memberi ruang luas kepada perlakuan jenayah media sosial.


Dalam era ledakan maklumat, media sosial sering dijadikan sebagai medium penyebar fitnah dan maklumat palsu pihak tertentu yang mempunyai agenda tersendiri sehingga mengganggu ketenteraman awam dan mencetuskan keresahan rakyat.

Dalam Persidangan Kepimpinan Mahasiswa Nasional 2014 (Pemanas 2014) yang berakhir hari ini, seorang perwakilan memberi saranan agar satu akta baharu dikenali sebagai Akta Khas Jenayah Media Sosial diperkenalkan bagi menangani penyalahgunaan media sosial yang semakin berleluasa.

Persoalannya, perlukah undang-undang baharu digubal bagi menangani penyebaran maklumat tidak tepat dan fitnah yang disebar menerusi media sosial itu?

Mengulas perkara itu, pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Prof Madya Dr Ismail Sualman berkata, ia tidak perlu kerana Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 sudah memadai dan cukup relevan untuk digunakan terhadap pesalah siber.

Namun, katanya akta sedia ada itu perlu dikaji semula dan diberi nilai tambah bagi memperbaiki beberapa kelemahan dan lompang yang secara tidak langsung melemahkan penguatkuasaan akta itu.

"Kelemahan pada SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) adalah mereka ada akta tetapi penguatkuasaan dibuat oleh polis... apabila sesuatu kesalahan siber dikenal pasti, SKMM perlu membawa kes kepada pihak polis untuk pertuduhan dan ini amat memakan masa untuk membawa pesalah ke muka pengadilan.

"Sepatutnya kuasa mutlak diberikan sahaja kepada SKMM supaya sesuatu penguatkuasaan dan pertuduhan itu dapat dilakukan terus dengan lebih pantas dan efisien... atau letak sahaja ia (SKMM) di bawah kuasa Kementerian Dalam Negeri," katanya ketika dihubungi.

Ismail berkata, kesalahan maya juga perlu diperincikan secara lebih jelas di dalam akta berkenaan, dengan memasukkan contoh sesuatu kesalahan yang dibuat itu sama ada jatuh di bawah Akta Hasutan 1948, Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984 atau akta lain yang berkaitan.

Selain itu tindakan juga bukan sahaja perlu diambil terhadap mereka yang memuat naik sesuatu maklumat palsu, tetapi juga kepada mereka yang sengaja menjadikannya viral. - Bernama

No comments:

Post a Comment