Pages

Sunday, 23 November 2014

PENGAPUNGAN TERKAWAL BANTU RAKYAT TANGANI BEBAN EKONOMI - KU LI

GUA MUSANG: Bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah menyokong langkah kerajaan memansuhkan subsidi minyak dan membuat penetapan harga runcit untuk Petrol RON95 dan diesel mengikut kaedah pengapungan terkawal mulai 1 Disember ini.
Anggota Parlimen Gua Musang itu berkata, langkah kerajaan itu diharapkan dapat membantu rakyat menangani bebanan ekonomi berikutan kenaikan harga barangan.
Katanya, dengan pemansuhan subsidi itu kerajaan dapat mengambil langkah mengawal keadaan ekonomi negara.
"Ini adalah masa terbaik bagi kerajaan untuk memansuhkan subsidi minyak kerana harga pasaran minyak mentah dunia juga jatuh ke paras AS$80 (RM268.40) setong," katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan dengan Peneroka di Dewan Orang Ramai di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Chalil di sini, Ahad.
Tengku Razaleigh berkata, kerajaan sebenarnya telah menunjukkan sikap prihatin terhadap rakyat dengan pemansuhan subsidi itu yang boleh digunakan untuk keperluan rakyat.
Sehubungan itu beliau menasihatkan rakyat negara ini supaya berjimat cermat dalam perbelanjaan harian kerana banyak lagi dugaan akan dihadapi terutama menghadapi tekanan ekonomi dunia yang tidak menentu.
"Kita boleh mengambil ingatan juga terhadap bahan komuniti yang kita usahakan setiap hari termasuk sawit dan getah yang harganya jatuh begitu rendah sekarang ini hingga boleh menyebabkan tekanan perbelanjaan kepada mereka.
"Ini semua bukan salah kerajaan kita, tetapi ia sebenarnya ada kaitan dengan pengurangan permintaan bahan itu daripada negara luar termasuk juga Amerika Syarikat yang mengambil sikap mengurangkan import minyak sawit dari Malaysia," katanya.

No comments:

Post a Comment