Pages

Monday, 17 November 2014

IBU ABAI ANAK OKU DIHUKUM PENJARA 7 BULAN DAN DENDA RM10,000

Lolanopita dihukum penjara tujuh bulan dan denda RM10,000
Remaja Orang Kurang Upaya (OKU), Muhammad Firdaus Dullah kelihatan ceria sambil dipeluk oleh bekas pengasuhnya, Norfitri Radius ketika dibawa ke mahkamah bagi perbicaran ibunya Lolanopita Sadi yang berdepan dua pertuduhan mengikut Akta Kanak-kanak 20
SEREMBAN: Lolanopita Sadi, yang mengabaikan anak lelakinya yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) Muhammad Firdaus Dullah selama kira-kira enam bulan, hari ini dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban pada Isnin.

Hakim Kamarudin Kamsun menjatuhkan hukuman itu selepas wanita itu mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan iaitu mengabaikan dan membiarkan anaknya itu tinggal tanpa pengawasan antara Januari hingga Jun lepas.

Ketika menyampaikan keputusan itu, katanya beliau menjatuhkan hukuman itu setelah mengambil kira kepentingan Muhammad Firdaus, tertuduh dan awam.

"Kebajikan Muhammad Firdaus adalah matlamat utama. Dari fakta kes, Muhammad Firdaus bergantung kasih dan sayang semata-mata kepada ibunya," katanya.

Beliau berkata semua pihak perlu memainkan peranan agar kes seperti ini tidak terjadi lagi.

"Di mana peranan ketua-ketua masyarakat dan agansi-agensi sehingga kes ini terjadi dan media juga sepatutnya menjadi telinga dan mata kepada masyarakat," katanya.

Bagi pertuduhan pertama, Lolanopita, 40, dijatuhi hukuman penjara empat bulan dan denda RM6,000 atau penjara dua bulan jika gagal membayar denda manakala bagi pertuduhan kedua pula hukuman penjara tiga bulan dan denda RM4,000 atau sebulan penjara jika gagal membayar denda.

Bagaimanapun, dia hanya perlu menjalani hukuman penjara empat bulan selepas Kamarudin memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak bermula Isnin.

Bagi pertuduhan pertama, ibu kepada dua anak itu didakwa mengabaikan Muhammad Firdaus dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami cedera fizikal atau emosi di sebuah bilik di rumah mereka di Blok 15-1-9 Flat Semarak, Nilai antara Januari hingga 2.30 pagi, 21 Jun.

Dia juga didakwa dengan sengaja membiarkan anaknya tinggal tanpa pengawasan yang berpatutan di tempat sama pada pukul 2.30 pagi, 21 Jun.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya dan pertuduhan kedua mengikut Seksyen 33c akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam bela Hanif Hassan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dan denda paling minimum terhadap Lolanopita kerana anak guamnya itu telah membuat pengakuan bersalah, latar belakang hidup tertuduh yang susah dan hubungan rapat di antara tertuduh dan Muhammad Firdaus.

Ketua Unit Pendakwaan Negeri Sembilan, Ahmad Terrirudin Mohd Salleh pula memohon kepada mahkamah agar hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh kerana kes ini telah menjadi kes kepentingan awam dan perbuatan tertuduh tidak boleh diterima kerana melibatkan nyawa seorang kanak-kanak OKU yang berpenyakit.

Lolanopita yang memakai tudung biru dan berbaju kurung kapas kelihatan tenang ketika hukuman dijatuhkan.

Dia kali pertama dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada 27 Jun lalu.

Ahmad Terrirudin dibantu Mohd Farid Mohd Mokhtar manakala Hanif dibantu Shaheera Zulkifli.
Astro Awani

No comments:

Post a Comment