Pages

Monday, 10 November 2014

GENG ANWARINAS USAHA PUJUK HADI SUPAYA LETAK JAWATAN !!!


Menurut laporan dari satu sumber, rakan-rakan seperjuangan kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang sedang memujuk beliau untuk mengundurkan diri demi masa depan parti PAS dalam Pakatan Rakyat (PR) ekoran masalah kesihatannya bagi terus memimpin parti Islam itu.

Mereka berkata, hubungan parti Islam itu bersama PKR dan DAP yang semakin keruh disebabkan sikap dingin presiden PAS itu boleh diperbaiki sekiranya Abdul Hadi bersetuju untuk meletak jawatan.

Seperti yang diketahui umum, pada Ogos lepas, Hadi bertindak dengan tidak menghadirkan diri ke Mesyuarat Majlis Presiden PR selepas tidak bersetuju dengan tindakan PKR dan DAP untuk menyingkirkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.

Abdul Hadi akui sejak beliau mengalami sesak nafas dan dimasukkan ke hospital di Istanbul, Turki pada Mei yang lalu, kesihatannya tidak begitu baik.

Sebelum ini, ketika kemelut Menteri Besar Selangor, beberapa insiden memalukan telah berlaku seperti memarahi Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengunjunginya di Terengganu akibat kesukaran mengawal kemarahan dan sikapnya itu dipercayai berlaku selepas sekembalinya dari Turki. 

"Presiden banyak berubah selepas masuk hospital di Turki dan seringkali membuat keputusan secara bersendirian. Mungkin sudah sampai masa untuk beliau berundur," kata seorang pemimpin kanan PAS kepada sebuah media dengan syarat tidak dinamakan.

Abdul Hadi yang berpendirian berbeza berulang kali dengan pemimpin PR itu didakwa tidak menghadiri pelancaran Belanjawan 2015 PR dan pembentangan Bajet 2015 di Dewan Rakyat pada 10 Oktober lalu.

Hasil daripada tindakan Hadi itu telah menyebabkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng memberi amaran kemungkinan PAS akan disingkirkan dari gabungan itu sekiranya presidennya terus tidak memberikan komitmen.

Menurut sumber, Hadi boleh mengambil alih jawatan mursyidul am yang kini disandang oleh Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sekiranya beliau meletak jawatan sebagai presiden PAS dan seterusnya tidak perlu lagi menghadiri mesyuarat bersama PR sekali gus dapat meneruskan kerjasama bersama PKR dan DAP untuk menawan Putrajaya.

Sumber turut melaporkan berhubung pemilihan parti tahun depan, ramai yang mengharapkan Hadi tidak membuat pengumuman bagi mempertahankan jawatannya.

"Namun halangan kita yang terbesar adalah, kepimpinan dalam PAS ni bukan kepimpinan politik saja atau pertubuhan biasa, tetapi juga kepimpinan jemaah Islam yang tidak ada umur bersara," kata sumber itu merujuk kepada keadaan Nik Aziz yang sedang uzur sekarang ini.

Pada Ogos yang lalu, Abdul hadi yang juga Ahli Parlimen Marang itu telah mengumumkan parti PAS tetap bersama gabungan yang ditubuhkan sejak 2008 meskipun ada ura-ura yang mengatakan beliau akan membawa PAS keluar PR.

Atas dasar gabungan tersebut, beliau menegaskan PAS akan terus mempunyai ideologinya sendiri yang mungkin bercanggah dengan rakan-rakan PR.

Ketua umum PKR, Anwar bagaimanapun menolak dakwaan Abdul Hadi itu dan memberitahu beliau seringkali berhubung dengan Hadi.

"Saya tidak rasa begitu, tidak elok mengatakan demikian. Saya ada berkomunikasi dengan beliau. Ia bukanlah satu masalah," katanya.

Seorang aktivis PAS telah mengajukan soalan, siapakah yang bakal menggantikan Abdul Hadi sekiranya beliau bersetuju untuk berundur.

Populariti Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu sememangnya diakui tetapi beliau tidak disukai oleh golongan konservatif yang juga membenci Anwar.

"Kalau timbalan beliau, Mohamad Sabu, ramai pihak yang tidak akan senang. Nama yang popular adalah Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man tetapi beliau tidak berminat untuk memegang jawatan itu," kata aktivis yang sudah bersama parti Islam itu selama lebih 30 tahun.

Manakala seorang lagi aktivis parti Islam itu pula berkata keyakinan beliau terhadap Mohamad dan mampu menggalas jawatan presiden PAS dan memperkukuhkan PR.

"Dalam PAS siapa yang paling dihormati PKR dan DAP? Mat Sabu disenangi Guan Eng dan Anwar."

"Mat Sabu jugalah yang seringkali menggantikan Hadi dalam mesyuarat Pakatan apabila Hadi tidak hadir," katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Pahang, Tuan Ibrahim dilihat sebagai ulama yang paling berpengaruh dalam parti Islam itu selepas Hadi dan Nik Aziz ekoran sikap terbukanya dalam menghadapi kepelbagaian.

Sumber berkata, seorang lagi naib presiden, Datuk Husam Musa antara calon yang sesuai mengambil alih tempat Hadi, selain Tuan Ibrahim dan Mohamad.

"Namun kalau dia (Hadi) mahu berundur secara sukarela (bukan melalui pertandingan) saya percaya dia akan memilih Tuan Ibrahim sebagai penggantinya," kata sumber itu.
UtaraNews.com

No comments:

Post a Comment