Pages

Sunday, 30 November 2014

ANGGOTA POLIS MAUT DALAM NAHAS


KOTA BHARU - Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal, maut apabila motosikalnya terbabas selepas bertembung dengan van dalam kejadian di Jalan Melawi-Jelawat di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, Mohamad Shakuan Mohd Tajudin, dipercayai mengalami kecederaan parah dan maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Abdul Hamid Che Ahmad mengesahkan menerima laporan kejadian dan menurutnya mangsa merupakan anggota polis yang bertugas di balai Bachok.

“Mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai tugasan mengawal lalu lintas dalam program jelajah basikal.

“Dalam perjalanan terbabit, tiba-tiba sebuah van dari arah bertentangan melanggar Mohd Shakuan yang menunggang motosikal berseorangan dari arah bertentangan dan akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan muka,” katanya.

Abdul Hamid berkata, mangsa meninggal di tempat kejadian dan jenazahnya dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga untuk urusan pengebumian di Kampung Parit, Perak.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan raya (APJ) 1987 dan kita menahan pemandu van wanita yang terlibat untuk siasatan lanjut,” katanya.

No comments:

Post a Comment