Pages

Tuesday, 4 November 2014

AL FATIHAH : PELAJAR HILANG KETIKA SERTAI MARATON DI SEKAYU DITEMUI MATI


Hulu Terengganu – Mangsa yang hilang di Hutan Lipur Sekayu, Ahmad Rafiqin Azman,16 telah ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat sekitar jam 4.00 petang tadi. Beliau yang hilang sejak 1 November lalu ketika ditemui telahpun meninggal dunia.

Dari keadaan mayat yang ditemui, mangsa dipercayai telah meninggal dunia lebih dari 48 jam.

Misi pencarian yang memasuki hari ke-4 berjaya memberi petunjuk yang membawa penemuan kepada kehilangan Ahmad Rafiqin setelah lebih ramai anggota penyelamat dikerah serta dengan bantuan sukarelawan dan penduduk setempat.

Dalam keadaan hujan yang lebat, operasi membawa turun mangsa menjadi sedikit sukar dan memakan masa hampir 3 jam dengan laluan yang licin dan lembap.

Suasana sayu menyelubungi kawasan operasi SAR apabila keluarga mangsa tidak dapat menahan sebak sebaik sahaja pasukan SAR membawa turun jenazah. Mangsa dikejarkan ke Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat.

Rafikin sebelum ini dilaporkan hilang semasa mengikuti acara Larian Antarabangsa Gunung Gajah Terom (Kategori Junior) dikatakan tidak menyelesaikan acara tersebut dan kehilangannya hanya disedari bapanya, Azman Othman, 50, ketika hendak mengambil anaknya itu.

Azman yang juga Penolong Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) kemudian membuat laporan polis setelah kesemua 32 peserta yang lain tiba di garisan penamat.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Hussin Deraman berkata, pihaknya melancarkan operasi mencari pelajar tersebut dengan menggunakan khidmat empat ekor anjing pengesan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, selain itu, operasi turut membabitkan hampir 100 anggota daripada pasukan Bomba dan Penyelamat, polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

"Pasukan dipecahkan kepada lima kumpulan dan operasi akan diteruskan hingga mangsa ditemukan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ibu saudara Ahmad Rafikin, Azlida Othman berkata, anak saudaranya itu merupakan seorang yang gemarkan aktiviti lasak dan penyertaannya dalam acara berkenaan telah dimaklumkan kepada ibu bapa dan keluarga.

"Ini bukan kali pertama dia menyertai larian seumpama ini. Berita kehilangannya mengejutkan ahli keluarga dan kami amat berharap Ahmad Rafikin dapat segera ditemukan," katanya di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, solat hajat turut diadakan di lokasi kejadian dengan disertai 20 pelajar Pondok Darul Quran dam penduduk sekitar Kampung Sekayu.





No comments:

Post a Comment