Pages

Thursday, 30 October 2014

TERKINI : PROSIDING HARI KE-3 (KES RAYUAN LIWAT II DILANJUTKAN HINGGA ISNIN DEPAN)


Panjang cerita lagi perbicaraan rayuan akhir Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Persekutuan pada Khamis.

Awalnya mahkamah tetap dua hari saja, Selasa dan Rabu untuk perbicaraan ini, namun peguam Anwar baru selesai berhujah awal petang Khamis.

Berikutan itu, menurut Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pendakwaan akan menjawab di sebelah petang, pihaknya akan mula berhujah pagi Jumaat dan disambung sehingga Isnin.

Selepas Shafee berhujah, peguam-peguam Anwar akan berhujah balas dan barulah hakim membuat keputusan.

Jadi dari congak tersebut, boleh jangka bahawa keputusan kes Anwar tidak akan diketahui dalam masa terdekat.

"Panel hakim biasanya ambil lebih masa untuk membaca semua hujah peguambela dan pendakwa sebelum membuat keputusan," kata Shafee.

Muhammad Shafee dibantu Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria.

Mahkamah Apex (mahkamah tertinggi dalam sistem kehakiman Malaysia) dijadual menetapkan tarikh lain untuk menyampaikan keputusannya kerana pihak pendakwaan dan pembelaan membuat penghujahan secara menyeluruh mengenai kes itu selain membawa isu-isu baharu untuk dipertimbangkan mahkamah.

Berikut adalah perkembangan prosiding yang berlangsung hari ini :-

12.58 petang: Peguamdakwa Tan Sri Shafee Abdullah meminta agar sesi pembentangan hujahnya dimulakan esok memandangkan beliau memerlukan lebih masa untuk menyediakan hujah balas, maka tiada sesi selepas rehat tengah hari pada hari ini. Penghujahannya akan bersambung ke hari kedua iaitu pada hari Isnin ini.

Ketua Hakim, Tun Ariffin Zakaria membenarkan pelanjutan sesi tersebut dan menangguhkan prosiding ke esok.

12.40 tengah hari: Peguambela Sangeet Deo Kaur meminta sedikit masa untuk menjelaskan hujahnya semalam tentang pegawai polis yang ditugaskan membawa 3 barang bukti, selain mengenai keadaan kebersihan lokap tahanan. Sangeet merujuk kepada beberapa gambar untuk penghujahannya.

12.10 tengah hari: Ramkarpal menyambung hujah, berdasarkan pemeriksaan doktor yang menunjukkan tiada bukti cedera atau penembusan, maka bagaimanakah sampel air mani boleh berada dalam dubur pengadu. Ramkarpal juga mengajukan soalan tentang beberapa penjelasan bukti yang sebelum ini tidak diberi perhatian sewaktu perbicaraan di Mahkamah Rayuan.

12.00 tengah hari: Ramkarpal mempertikai kredibiliti Mohd Saiful berikutan percanggahan kenyataan dan pengakuan Mohd Saiful tentang masa, cara dan butiran berkaitan insiden diliwat. Percanggahan itu, menurut Ramkarpal, adalah berdasarkan laporan pengadu itu kepada doktor yang memeriksa dan ketika dia memberi keterangan di mahkamah.

11.40 pagi: Ramkarpal merujuk kepada keputusan empat doktor, dari kedua-dua pihak pendakwa dan pembela, yang menyatakan bahawa tiada kesan cedera pada rektum Mohd Saiful. Persoalan tentang sama ada benar berlaku penembusan telah dibangkitkan.

11.30 pagi: Prosiding disambung semula. Ramkarpal menyambung hujahnya dan bersedia untuk rumusan keseluruhan.

11.20 pagi: Anwar kembali ke kamar mahkamah dan berbual dengan hadirin di galeri awam, termasuk Sasterawan A. Samad Said, dan veteran DAP, Lim Kit Siang.

11.15 pagi: Sidang berehat sebentar.

10.30 pagi: Ramkarpal mengatakan bahawa Jude berbohong tentang pemahamannya mengenai cara kendalian spesimen bahan bukti. Dalam hujahnya, Ramkarpal menekankan bahawa Judy tidak perlu membuka, memeriksa dan menanda semula 12 spesimen tersebut setelah kesemuanya sudahpun melalui prosedur standard oleh doktor/pakar kimia yang menyediakannya sebelum itu.

10.20 pagi: Ramkarpal memetik kembali pengakuan seorang saksi, Superintenden Jude Pereira, yang menurutnya tidak mengendalikan spesimen bahan bukti mengikut prosedur. Antaranya adalah tentang pembukaan bungkusan spesimen dan penandaan label serta penyimpanan di tempat yang tidak bersuhu dingin.

10.00 pagi: Ramkarpal memperincikan aspek perbandingan sampel DNA daripada bahan bukti tuala dengan sampel dari rektum pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan. Isu pencemaran sampel, pengendalian dan garis panduan membuat ujian makmal terhadap sampel diberi penekanan.

9.36 pagi: Prosiding hari ketiga bermula dengan peguam Ramkarpal Singh menyambung hujahnya mengenai hal saintifik tentang bahan bukti dan DNA.

9:30 pagi: Suasana di hadapan Istana Kehakiman masih lengang, hanya satu kumpulan kecil sekitar 50 orang penyokong Anwar kelihatan hadir.

9.11 pagi: Anwar tiba di kamar mahkamah dan ambil peluang menyapa kenalan di galeri awam. Beliau kemudian bergerak ke sudut depan barisan media untuk bercakap di telefon dengan individu berprofil tinggi dari Manila yang disebut Anwar sebagai 'Presiden'. Anwar seterusnya membuat perbincangan ringkas bersama ketua barisan pembelaan, Gopal Sri Ram dan beberapa peguam lain.

9:00 pagi: Anwar tiba untuk prosiding hari ini tetapi tidak melalui kawasan penyokongnya seperti biasa tetapi memasuki mahkamah mengikut pintu lain. Manakala penyokong Mohd Saiful Bukhari pula, langsung tidak kelihatan. Malah, pengamal media lebih ramai daripada penyokong kedua-dua pihak.


No comments:

Post a Comment