Polis menyerahkan kepada pihak pentadbiran Universiti Malaya (UM) sama ada membenarkan ataupun tidak Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim masuk ke universiti itu bagi menghadiri program pidato dijadualkan malam ini, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Beliau berkata polis tidak akan campur tangan dalam urusan pentadbiran universiti itu.
Bagaimanapun, katanya polis akan memantau dan menempatkan anggota di kawasan luar universiti itu khususnya di sekitar Masjid Ar-Rahman untuk memastikan tidak berlaku perkara tidak diingini.
“Itu tanggungjawab kita (polis) untuk memastikan keselamatan awam di kawasan luar universiti. Tetapi dalam universiti saya serahkan kepada pihak universiti. Kita akan menempatkan anggota secukupnya kerana hendak memastikan kaedah (keselamatan) selamat, tidak ada gangguan dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penghormatan Kepada ‘Wira Yang Tidak Didendang’ Pasukan Penyelamat MH17 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Ampangan di sini, hari ini. Turut hadir Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Osman Salleh dan Pengetua SMK Seri Ampangan Mohd Sazali Sam.
Khalid berkata terpulang kepada pihak universiti itu sama ada mahu membenarkan Anwar menghadiri program itu atau sebaliknya.
Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) sebelum ini dilaporkan akan meneruskan program pidato Anwar di kampus itu malam ini walaupun pengurusan kampus mengeluarkan larangan menerusi Timbalan Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Rohana Yusof.
Sementara itu, berhubung pendengaran rayuan Anwar terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun bagi kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya esok dan lusa, Khalid menasihati semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya menghormati proses undang-undang.
“Ini adalah proses undang-undang biasa. Saya minta pihak yang tidak berkenaan tidak perlu ganggu keadaan atau perjalanan perbicaraan mahkamah. Biarkan mahkamah bersidang dengan aman damai dan membuat keputusan.
“Kita (polis) bagaimanapun, bersedia menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku,” katanya.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Muhammad Azlee Abdullah berkata walaupun majlis ceramah itu adalah bidang kuasa pihak pengurusan universiti kerana diadakan dalam kawasan kampus, polis tetap membuat pemantauan.
“Ya memang kami ada memantau dengan membuat rondaan dari semasa ke semasa di universiti berkenaan.
“Walaupun ia adalah bidang kuasa UM, polis akan sentiasa bersedia untuk bertindak sekiranya wujud provokasi atau perhimpunan berlaku di luar pagar UM,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Azlee diminta mengulas mengenai program ceramah Anwar bertajuk “Anwar Ibrahim: 40 tahun, dari UM ke penjara” pada malam ini di universiti berkenaan.
Sebelum ini, Pengerusi Persatuan Penggerak Mahasiswa UM Wan Mohd Suhail Wan Senu dilaporkan telah menyerahkan memorandum kepada pihak polis bagi menuntut jaminan keselamatan warga kampus sepanjang program itu dijalankan.
Beliau berkata program itu tidak mendapat kelulusan pengurusan universiti dan menimbulkan kebimbangan segelintir warga kampus terhadap keselamatan mereka.
UNIVERSITI BUKAN TEMPAT PERHIMPUNAN HARAM
– SEKRETARIAT TNC IPTA
Sekretariat Timbalan-Timbalan Naib Canselor/Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) menentang keras sebarang usaha pihak tertentu yang ingin menjadikan mana-mana kampus IPTA sebagai medan perhimpunan haram mereka.
Pengerusinya, Prof Datuk Dr. Mohamed Asin Dollah berkata, perhimpunan atau aktiviti yang hanya menjurus kepada sokongan terhadap individu atau ideologi pemimpin tertentu, tidak wajar diadakan dalam kampus universiti, lebih-lebih lagi yang bertujuan untuk mempengaruhi golongan muda seperti mahasiswa.
Adalah tidak sesuai sama sekali sekiranya pihak luar mengadakan aktiviti perhimpunan dalam mana-mana kampus universiti, yang tidak berkaitan dengan peranan dan kehidupan sebagai seorang mahasiswa, katanya dalam kenyataan di sini Isnin.
Mohamed Asin yang juga Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) berkata, ini bagi menjamin para mahasiswa memberikan tumpuan kepada aktiviti akademik, pembudayaan dan penguasaan ilmu serta pembangunan sahsiah mereka.
“Saya menyeru kepada semua pihak agar menghormati universiti sebagai sebuah institusi akademik yang berperanan untuk mendidik para mahasiswa dalam pelbagai bidang ilmu, serta pada masa yang sama membangunkan sahsiah dan jati diri mereka secara positif sehingga menjadi golongan professional yang mampu membangunkan negara pada masa hadapan, bukan sebagai perosak atau penghancur negara.
“Pengalaman beberapa negara luar menggunakan mahasiswa universiti untuk menentang serta menjatuhkan sesebuah kerajaan adalah tidak demokratik dan tidak wajar sama sekali dilaksanakan di negara kita ini,” katanya
No comments:
Post a Comment