Pages

Wednesday, 8 October 2014

PASANGAN SUAMI ISTERI RENTUNG DALAM NAHAS DEKAT PEKAN

ANGGOTA bomba berusaha mencari mangsa kemalangan sebuah kereta bertembung dengan bas ekspress mengakibatkan dua orang rentung, di Batu 13 Jalan Pekan Nenasi dekat kampung Sungai Miang, Pekan awal pagi tadi.
PEKAN: Sepasang suami isteri rentung apabila kenderaan yang mereka naiki terbakar selepas bertembung dengan sebuah bas persiaran dalam kemalangan di Kilometer 16, Jalan Pekan-Nenasi dekat Kampung Sungai Miang, Pekan hari ini.

Mangsa yang terbunuh adalah pemandu kereta, seorang anggota tentera Mohd Safiuddin Mohd Sezali, 26, berasal dari Kampung Panchor Merah, Permaisuri, Terengganu dan isterinya, Nor Farina Rosli, 26, dari Kampung Edang, Melor, Kelantan yang bertugas sebagai jururawat di Klinik Desa Sungai Sayong Kluang, Johor.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Yahaya Othman, berkata dalam kejadian 4.45 pagi itu kereta yang dinaiki mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum bertembung dengan sebuah bas yang sedang menghala ke Kuala Terengganu bersama kira-kira 30 penumpang.

"Akibat pertembungan itu kedua-dua kenderaan tersebut hangus terbakar dan kedua-dua mangsa yang tersepit di dalam kereta Proton Persona itu tidak sempat menyelamatkan diri," katanya kepada pemberita di sini.

Bagaimanapun, katanya kesemua penumpang bersama pemandu bas terbabit berjaya menyelamatkan diri dan mereka tidak mengalami sebarang kecederaan.

Terdahulu, Pegawai Kanan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pahrul Razi, berkata mangsa yang maut dalam kejadian kira-kira jam 4.45 pagi itu rentung dalam kereta dinaiki mereka.

"Pemandu dan 32 penumpang bas berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Bas dan kereta itu terbakar dalam kejadian berkenaan," katanya. 
Bernama

Bas ekspress ini membawa 29 penumpang dalam perjalanan dari Singapura ke Kuala Terengganu.

Kereta jenis Proton Persona ini dalam perjalanan dari arah Pekan ke arah Rompin. 
Anggota Bomba dan Penyelamat masih bertungkus lumus mencari cebisan mayat yang rentung dalam kereta jenis Proton Persona yang terbabit dalam kemalangan ini.

No comments:

Post a Comment