Pages

Tuesday, 28 October 2014

KES RAYUAN ANWAR MUNGKIN BERLANJUTAN HINGGA JUMAAT


PUTRAJAYA: Kes rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap keputusan Mahkamah Tinggi mensabitkan kesalahan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, mungkin disambung sehingga Jumaat ini.

Ketua Pendakwa Raya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, berkata ini kerana giliran pasukannya berhujah yang dijadualkan pagi esok mungkin akan ditunda kepada Khamis dan pasukan pembelaan pula perlu menjawab hujah berkenaan sebelum keputusan dibuat panel lima hakim Mahkamah Persekutuan.

"Jadi, mereka (pihak mahkamah) akan memanjangkan kes ini sehari lagi iaitu sehingga Khamis atau kemungkinan pada Jumaat.

"Seperti yang anda tahu... ini adalah rayuan terakhir. Jadi banyak isu yang akan timbul dan juga isu yang tidak pernah berbangkit sebelum ini," katanya kepada pemberita ketika keluar dari Bilik Bicara 1, Mahkamah Persekutuan Istana Kehakiman di sini, sebentar tadi.

Pada 7 Mac tahun ini, Mahkamah Rayuan mendapati Anwar bersalah dan menjatuhi hukuman penjara lima tahun atas tuduhan meliwat Mohd Saiful, 27, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Anwar, 67, didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pada 9 Januari 2012, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Anwar atas kesalahan meliwat Mohd Saiful atas alasan mahkamah tidak boleh 100 peratus pasti tentang integriti sampel DNA yang diambil daripada Mohd Saiful kerana sampel itu mungkin diganggu sebelum sampai ke Jabatan kimia untuk dianalisis.

Muhammad Shafee berkata, pasukannya sudah bersiap sedia dengan pelbagai isu yang dibangkitkan pasukan peguam bela.

"Kita mendengar hujah mereka... hujah yang mana kita sudah jangka. Bukan perkara yang kita tidak jangka. Jadi, kami rasa... kita sudah dapat jawapannya," katanya.
Bernama

No comments:

Post a Comment