Pages

Sunday, 14 September 2014

UPSR : POLIS TAHAN EMPAT GURU DI PULAU PINANG DAN PERAK


Polis menahan empat guru dalam serbuan di Pulau Pinang dan Parit Buntar, Perak hari ini berhubung kes kebocoran soalan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi mata pelajaran Sains dan Bahasa Inggeris.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Gan Kong Meng berkata tiga guru lelaki dan seorang guru wanita ditahan dalam operasi bermula pada 3.30 petang.
"Kesemua mereka berumur dalam lingkungan 30 hingga 54 tahun. Tiga ditahan di Pulau Pinang dan seorang di Perak. Polis turut merampas gajet komunikasi dalam serbuan itu untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan di Kuala LUmpur,Ahad.
Bernama melaporkan Gan berkata sehingga kini, seramai 10 individu telah diambil keterangan terdiri enam pegawai Lembaga Peperiksaan Malaysia, seorang wartawan dan tiga guru.
Berikutan kebocoran itu, kertas peperiksaan Bahasa Inggeris 014/1 dan 014/2 dibatalkan setelah murid menduduki peperiksaan itu pada Khamis manakala kertas peperiksaan Sains 018, 028 dan 038 turut ditangguhkan sebelum mereka mengambilnya pada Khamis juga.
LPM menetapkan 30 Sept ini sebagai tarikh baharu bagi peperiksaan kedua-dua kertas itu.
Susulan itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pengarah LPM Dr Na'imah Ishak dan Timbalan Pengarah Operasi badan itu Dr Wan Ilias Wan Salleh digantung tugas berkuat kuasa serta-merta sehingga siasatan mengenai kebocoran kertas-kertas peperiksaan itu selesai.-14/9/2014
UPSR bocor: Muhyiddin cerita pengalaman pujuk cucu sulung menangis
Kerajaan memandang serius perbuatan membocorkan soalan kertas peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) kerana ia menggangu emosi pelajar, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menceritakan pengalaman sendiri berdepan dengan cucu sulung yang menangis mencari 'tok ayah' bertanya mengapa perkara tersebut boleh berlaku menyebabkan beliau memahami perasaan mereka.
"Cucu sulung saya bernama Suraya turut ambil UPSR, bila tahu soalan bocor dan kena ulang semula, menangis telefon 'tok ayah dia' (Muhyiddin), saya nasihatkan jangan bimbang dan kita memahami apa yang mereka rasa dan saya sendiri pun merasa kecewa," katanya.
Menurut beliau peranan ibu bapa adalah penting untuk meredakan emosi anak yang tinggi sekarang ini, sebagai datuk sendiri pujuk menasihatkan cucunya itu supaya bersabar dan bertenang.
"Alhamdulilah, semalam dalam whatapps group keluarga, mereka tulis (Suraya) dah okay..."katanya tersenyum.
Jelas Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, kementerian sama sekali tidak memandang ringan perkara itu dan akan mengambil tindakan sekeras-kerasnya terhadap pihak yang membocorkan soalan peperiksaan mata pelajaran Sains dan Bahasa Inggeris itu.
"Kita (Kementerian Pendidikan) sudah mengambil tindakan sewajarnya dengan cepat dan segera. Saya sememangnya rasa dukacita dan kini kita serahkan kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan.
"Biar pihak berkuasa ambil tindakan dan pada masa yang sama jawatankuasa bebas yang kita tubuhkan akan membuat beberapa cadangan bagi penambahbaikan UPSR," katanya kepada pemberita selepas selesai proses penamaan calon pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor di Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat.
Muhyiddin berkata, beliau sudah meminta Lembaga Peperiksaan mengadakan semula peperiksaan bagi kedua-dua kertas pada 30 September dan menurutnya beliau berharap tidak ada lagi berlaku kebocoran soalan.
Beliau berkata, siasatan awal pihak kementerian mengenal pasti individu yang terbabit dalam membocorkan soalan kertas berkenaan.
Katanya, kerajaan akan melihat daripada semua sudut untuk mengelak berulang kejadian seumpama itu dan akan mengambil contoh aspek keselamatan yang diambil pada soalan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dicetak di United Kingdom.
Muhyiddin juga berkata, kerajaan mempunyai pengalaman yang lama dalam menguruskan UPSR namun tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab itu mencemarkan segala-galanya.
"Kita sudah ikut SOP (Prosedur Operasi Standard) tetapi ada juga yang tidak amanah. Ini semua kita akan teliti semula," katanya.
Agenda Daily-13/9/2014

No comments:

Post a Comment