PUJIAN dan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) dan PAS yang berjaya mengekalkan kempen lunak dan harmoni sepanjang tempoh berkempen selama 12 hari.
Kini, semua mata tertumpu kepada tiga calon, Mat Razi Mat Ail (BN), Wan Rosdi Wan Ibrahim (PAS) dan calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary.
Hari ini, seramai 23,929 pengundi akan menjadi 'raja' untuk memangkah siapa yang difikirkan layak bekerja dan mendengar suara hati mereka.
Tiada istilah peluang sudah tertutup untuk ketiga-tiga calon ini selagi peti undi tidak dibawa ke pusat pengiraan selepas pukul 5 petang Khamis.
Tanpa mengambil kira calon Bebas, secara keseluruhannya dapat dikatakan bahawa pertempuran di antara BN dan PAS kali ini sangat sengit tetapi unik.
Sehingga tamat tempoh berkempen, sama ada BN atau PAS, masing-masing tidak berani menyatakan keyakinan mereka untuk menang walaupun kedua-duanya menyimpan harapan tinggi.
Persaingan kali ini dianggap unik dan menarik apabila ramai yang mengakui bahawa pihak yang akan menentukan kalah-menang PAS dan BN adalah warganegara Malaysia berketurunan Siam yang menetap di Pengkalan Kubor, serta pengundi luar.
Walaupun jumlah pengundi masyarakat Siam hanya 1,638 orang, membentuk golongan pengundi kedua terbesar (6.81 peratus) selepas Melayu, ia dikatakan akan memberi pengaruh besar dalam menentukan siapa sebenarnya yang akan 'terkubur' di Pengkalan Kubor.
Ini kerana, masyarakat Melayu di Pengkalan Kubor yang membentuk majoriti dengan 22,120 jumlah pengundi (92.02 peratus) di sini rata-rata sudah mempunyai parti pilihan masing-masing.
Margin peratusan pengundi atas pagar pula amat kecil di sini, manakala pengundi Cina hanya berjumlah 238 orang, India dan bumiputera Sarawak masing-masing 25.
PAS sudah punya penyokong setia dan tegarnya, terutama di Kampung Geting dan Kedai Geting yang merupakan kawasan perkampungan nelayan yang menjadi kubu kuat PAS sejak dahulu lagi.
Dua kawasan ini diletakkan di bawah kategori Zon A di mana ia menjadi antara kawasan pengundi paling ramai, masing-masing berjumlah 3,355 dan 1,524.
Khabarnya, golongan ini berpegang erat dengan prinsip, 'PAS adalah agama' dan pemahaman mereka ini sukar dikikis walau penjelasan demi penjelasan dan bantuan demi bantuan dihulurkan kerajaan Pusat sejak sekian lama.
Dalam erti kata lain, mereka tidak menolak pembangunan atau bantuan yang diberikan kerajaan BN, namun menolak BN menerusi kertas undi.
BN Selesa
Bagi BN pula, mereka dikatakan sudah selesa di 10 Pusat Daerah Mengundi (PDM) seperti Pengkalan Kubor, Kampung Ketil, Kampung Teluk Jering, Simpangan, Tujoh, Bunohan, Telaga Bata, Jubakar Darat dan Kampung Bendang Pak Yong.
Di kawasan ini, BN juga tidak berdepan masalah 'pengundi tak setia' kerana rekod cemerlang yang telah diterjemahkan oleh wakil rakyat tiga penggalnya Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar.
Apa yang diharapkan pengundi hanyalah kesinambungan perkhidmatan daripada wakil rakyat baharu jika calon BN diumumkan menang.
Dalam konteks pengundi Siam, BN dilihat mempunyai banyak kelebihan berbanding PAS.
Berdasarkan rekod tiga Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini iaitu pada 2004, 2008 dan 2013, undi yang diberikan masyarakat Siam kepada BN menunjukkan peningkatan yang begitu ketara.
Ini berlaku kerana mereka dilihat lebih selesa dengan politik dan dasar BN berbanding dasar PAS yang tidak memberikan apa-apa kepentingan kepada mereka.
Dari sudut lain, masyarakat Siam yang majoritinya bekerja sebagai petani berpuas hati dengan langkah kerajaan Pusat menjaga kebajikan mereka.
Sebagai contoh, memberi bantuan baja untuk mereka bercucuk tanam.
Namun, ada juga yang berpendapat bahawa sesetengah masyarakat Siam di sini menghormati Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat dan cenderung untuk terus memberi sokongan kepada PAS.
Undi Luar, Besar Tapi Samar
Mengenai pengundi luar, walaupun jumlah mereka ramai iaitu kira-kira 2,000 orang, tetapi sukar dicongak oleh BN atau PAS, menjadikannya berterusan samar-samar.
Jika dilihat kepada angkanya, ia merupakan satu jumlah besar yang tidak patut diketepikan, baik oleh BN, mahu pun PAS.
BN dan PAS boleh berharap agar pengundi luar pulang mengundi, tetapi agak bahaya jika mereka bergantung kepada undi mereka untuk menang.
Dalam hal ini, tiada siapa dapat pastikan berapa ramai yang benar-benar akan pulang mengundi.
Masalah timbul apabila kumpulan pengundi ini dikatakan berdepan beberapa kekangan untuk pulang mengundi, termasuklah masalah untuk mengambil cuti dan terpaksa mengambil cuti dua kali untuk pulang pada Hari Raya Haji minggu depan.
Mahu Menang
Walau sengit mana sekali pun saingan pilihan raya kali ini, apa yang pasti kedua-dua parti mempunyai alasan tersendiri untuk menang.
Selain mahu mempertahankan kerusi yang disandangnya selama tiga penggal, kemenangan di Pengkalan Kubor adalah penting bagi BN untuk membuktikan parti itu relevan dan terus diterima rakyat.
Bagi PAS pula, mereka tentunya mahu menang setelah puas berusaha memujuk rakan sekutu mereka PKR supaya menyerahkan kerusi Pengkalan Kubor untuk ditanding calon mereka.
Jika tewas, tentu sahaja PAS akan malu besar.
mStar
No comments:
Post a Comment