Sepanjang seminggu tempoh berkempen berlalu di Pengkalan Kubor menyaksikan pasukan kempen BN tidak begitu agresif menyerang PAS. Dalam bahasa mudah pasukan kempen BN berkempen dalam kedaaan yang begitu ‘sopan dan lembut’.
Sebaliknya pasukan kempen PAS lebih agresif menyerang BN/UMNO. Situasinya menjadi terbalik sedangkan di Kelantan PAS adalah sebuah kerajaan dan BN adalah pembangkang. Sepatutnya pembangkang yang menyerang kerajaan. Bukannya kerajaan yang menyerang pembangkang.
Dipendekkan cerita, BN lebih banyak membuang masa menjawab serangan PAS baik dalam isu royalti atau GST. Yang saya tidak faham kenapa begitu susah untuk pemimpin-pemimpin BN menyerang PAS diatas kegagalan-kegagalan mereka menunaikan janji secaranya khususnya di Pengkalan Kubor serta Tumpat dan di Kelantan secara amnya ?
Salah satu pembohongan besar PAS yang melekat dalam diri rakyat Pengkalan Kubor ialah pembinaan Bandar Baru Pengkalan Kubor yang dijanjikan 18 tahun lalu. Selain pembohongan itu, PAS juga turut berbohong untuk membina jambatan kedua yang menghubungkan Tumpat ke Kota Bharu serta pembohongan PAS untuk membina sebuah pelabuhan di Tumpat.
Tanggal 26.Oktober.1996 MB sekarang, YAB Datuk Ahmad Yakub yang ketika itu selaku Exco Perdagangan dan Perindustrian memberitahu Dewan Undangan Negeri Kelantan bahawa kerajaan negeri akan membangunkan sebuah kawasan di Pengkalan Kubor untuk dijadikan Bandar Baru Pengkalan Kubor. Dalam sidang DUN berkenaan beliau menyatakan dengan terbinanya bandar baru berkenaan akan wujud 6000 peluang pekerjaan, 4000 buah rumah yang berharga RM 35,000.00 sebuah akan dibina, Pusat dagangan islam, masjid, institut pengajian tinggi dan pasar borong.
Bukan setakat mengumumkan projek berkenaan dalam DUN Kelantan, malah pada 22.Disember.1996 kerajaan negeri menandatangani perjanjian dengan pemaju projek berkenaan di sebuah hotel di Kota Bharu, dan mula menjual borang kepada rakyat Pengkalan Kubor untuk membeli rumah-rumah yang bakal dibina.
Pada masa itu saya masih belajar di tingkatan 5. Saya masih ingat bagaimana rakyat Pengkalan Kubor dan Tumpat berebut-rebut membeli borang rumah berkenaan dengan harga RM 1. Begitu tingginya harapan rakyat Kelantan untuk memiliki sebuah rumah di kawasan yang begitu hebat seperti yang dicanangkan oleh Kerajaan Pas Kelantan.
Tahun demi tahun rakyat menunggu projek berkenaan berjalan. Kini 18 tahun telah berlalu, jangan kata rumah , sebatang cerucuk pun belum nampak lagi. Rakyat Pengkalan Kubor ditipu hidup-hidup oleh Kerajaan Pas Kelantan. Kata orang Kelantan, kena tipu atas darat.
Itu baru satu projek. Kerajaan Pas pernah berjanji untuk membina sebuah pelabuhan di Tumpat. Sampai hari ini satu dermaga pun belum nampak lagi. Begitu juga dengan Jambatan Palekbang. Menjelang pilihanraya 1995 Kerajaan Pas umumkan akan membina sebuah jambatan baru yang menghubungkan Tumpat ke Kota Bharu. Tahun 1996 mereka membawa Sultan Kelantan turun mencemar duli untuk meletak batu asas projek berkenaan. Tetapi hingga kini batu asas masih tegak terpacak di sana dan sebatang besi pun belum nampak lagi untuk membina jambatan berkenaan.
Itu antara pembohongan PAS yang dekat dengan masyarakat Pengkalan Kubor dan Tumpat. Tidak perlu untuk saya huraikan satu persatu pembohongan PAS di Kelantan. Perkara yang saya nyatakan diatas pun sudah cukup untuk BN gunakan bagi menyerang PAS. Sebab semuanya sudah terbukti di depan mata masyarakat Pengkalan Kubor dan dekat dihati mereka. Apabila dekat dengan mereka maka senang untuk meyakinkan mereka bahawa PAS adalah pembohong. Tetapi sayangnya isu ini belum digunakan sepenuhnya oleh BN untuk menyerang PAS.
Bukan niat saya untuk mengajar pemimpin-pemimpin BN, tetapi sekadar mengingati. Jika peluru sudah ada mengapa perlu disimpan. Sebaliknya sibuk menepis peluru yang dilepaskan musuh.
Sekian
Pengundi Pusat Daerah Mengundi Kg Geting
No comments:
Post a Comment