PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor walaupun sekutunya dalam Pakatan Rakyat, PAS berniat mengambil alih kerusi itu berikutan kekalahan dua kali beturut-turut PKR kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum lalu.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, PKR Kelantan telah mencadangkan kepada pimpinan tertinggi parti untuk terus bertanding di DUN berkenaan.
"Kepimpinan PKR Pusat juga telah menerima cadangan daripada PKR Kelantan untuk terus bertanding kerusi Pengkalan Kubor.
"Cadangan ini akan dibincangkan oleh PKR dan PAS sebelum keputusan dimuktamadkan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Minggu lalu Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, pihaknya telah mendapat sokongan akar umbi untuk mengambil semula kerusi DUN Pengkalan Kubor yang dipinjam kepada PKR.
Bagaimanapun, pada Selasa, beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan berkata, Majlis Presiden Pakatan Rakyat akan membuat keputusan mengenai parti mana akan bertanding menerusi perbincangan 'dari hati ke hati'.
Kerusi DUN Pengkalan Kubor kosong selepas penyandangnya Datuk Noor Zahidi Omar meninggal dunia akibat kanser.
PRK Pengkalan Kubor akan diadakan pada 25 September ini.
mStar
No comments:
Post a Comment