Pages

Saturday, 13 September 2014

PEGUAM EDMUND BON PULA DISIASAT DAKWAAN MENGHASUT

Peguam Edmund Bon masuk senarai antara seorang lagi yang disiasat di bawah Akta Hasutan selepas tindakan sama termasuk pendakwaan yang diambil oleh pihak berkuasa dalam tempoh sebulan yang lalu.

Bon disiasat susulan kenyataannya mengenai kedudukan fatwa dalam sistem perundangan negara seperti yang dilaporkan oleh portal berita The Malaysian Insider pada 20 Januari 2014.

Kenyataannya itu berkait dengan titah Yang di-pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sempena Hari Keputeraan Sultan Kedah ke-86 sehari sebelumnya yang menyentuh mengenai penggunaan kalimah Allah di kalangan orang bukan Islam dan sebuah fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan mengenai kalimah eksklusif untuk orang Islam pada 1986.

Edmund memaklumkan perkara itu dalam satu kenyataannya di Twitter. Beliau juga menyatakan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa dan akan memberikan keterangan selepas pulang dari luar negara.

@BONadvocates just got a call from ASP Zaidi Rahman, Penang that I am being investigated for sedition re this: http://t.co/A8CqB2TmKH








Ini adalah satu lagi tindakan di bawah Akta Hasutan yang melibatkan pandangan berhubung undang-undang.

Pensyarah undang-undang Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Azmi Sharom pada 2 September lepas didakwa di mahkamah berhubung kenyataannya mengenai krisis perlembagaan Perak dan proses perlantikan menteri besar.

Sepanjang tahun ini, ada 11 pendakwaan di bawah Akta Hasutan -- sembilan daripadanya dibuat dalam tempoh 30 hari yang lalu.

Perkembangan ini mendapat kritikan beberapa pihak ekoran akta itu disebut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan dimansuhkan selaras dengan pelan transformasi pentadbirannya. Hasrat itu diumumkan dalam satu ucapan pada Julai 2011.

Najib kemudian baru-baru ini mengulangi pendirian pentadbirannya mahu memansuhkan akta itu dan menggantikannya dengan Akta Keharmonian Nasional.

Bagaimanapun kata Perdana Menteri perkara berkaitan agama, hak istimewa orang Melayu dan kedudukan raja-raja Melayu tidak akan diabaikan dalam akta baru itu nanti.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan draf Rang Undang-Undang Keharmonian Nasional masih lagi sedang dibincangkan prinsipnya.

Menurut kenyataan itu, kerajaan tidak akan tergesa-gesa menggantikan Akta Hasutan 1948 dengan undang-undang baharu tanpa meneliti semua aspek berkaitan termasuk elemen pencegahan.
AstroAwani

No comments:

Post a Comment