Pages

Saturday, 23 August 2014

TAKUT DILAPOR PONTENG, MURID SEMBUNYI DALAM HUTAN

TEMERLOH – Seorang murid tahun enam, yang dikhuatiri hilang dalam kawasan hutan bersebelahan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Lanchang pagi Jumaat, berjaya ditemui pasukan penyelamat pada petang hari sama.

Timbalan Ketua Polis Daerah Temerloh, Superintendan Zundin Mahmood berkata, Muhammad Shamil Ikhwan, 12, ditemui pada 6.20 petang, kira-kira satu kilometer dari kawasan dia dilaporkan hilang.

“Murid itu ditemui di ladang kelapa sawit dekat situ dalam keadaan keletihan kerana hampir sembilan jam bersembunyi di situ.

“Bagaimanapun, dia tidak mengalami sebarang kecederaan namun kita akan membawa dia ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah untuk pemeriksaan,” katanya kepada Bernama di sini, Jumaat

Beliau berkata, murid Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang itu dilapor melarikan diri dari sekolahnya pada 9.30 pagi.

Zundin berkata, siasatan awal mendapati mangsa melarikan diri kerana bimbang dimarahi ibu bapa serta gurunya ekoran sering ponteng sekolah dan gagal menyiapkan kerja rumah.

“Menurut murid itu juga, dia terlewat hadir ke sekolah dan kebetulan sekolahnya menganjurkan program solat hajat bersama ibu bapa bersempena peperiksaan UPSR yang bakal diduduki 18 hari lagi.

“Dia yang bimbang gurunya akan mengadu perihal dirinya kepada keluarga kemudian bertindak melarikan diri dari sekolah,” katanya.

Mangsa sebelum itu, katanya, dilihat bersama murid lain mengikuti program solat hajat sebelum berjalan keluar dari sekolah sendirian menuju ke arah hutan berkenaan.

Ekoran itu, beberapa guru keluar mencari Muhammad Shamil di kawasan hutan berkenaan namun gagal menemuinya sebelum bertindak membuat laporan polis.

Beliau berkata, susulan itu, tiga anggota dari Balai Polis Lanchang, lima anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan 15 penduduk kampung melancarkan gerakan mencari mangsa sebelum menemuinya di kawasan hutan berkenaan. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment