Pages

Tuesday, 26 August 2014

RTM TIADA HALANGAN SIARKAN SECARA LANGSUNG PERBICARAAN KES LIWAT ANWAR IBRAHIM


Kementerian Komunikasi dan Multimedia tiada halangan untuk penyiaran secara langsung prosiding kehakiman kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim jika pihak mahkamah membenarkan, kata Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata kementerian turut pernah memohon untuk penyiaran langsung proses Pilihan Raya Umum ke-13 daripada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Saya sendiri dahulu pernah meminta supaya proses pengundian pilihan raya di buat secara langsung kerana waktu itu ada pihak mengatakan proses yang dilakukan tidak betul, namun pihak SPR tidak membenarkan,” katanya selepas merasmikan aplikasi mudah alih ‘Citra Merdeka 57′ di sini hari ini.

“Bagi saya jika mahkamah membenarkan ia disiar secara langsung, saya rasa tidak ada masalah untuk pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyiarkannya,” katanya.

Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali dilaporkan mencabar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membenarkan siaran langsung perbicaraan rayuan kes liwat membabitkan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Namun bagi Ahmad Shabery, permintaan daripada PKR itu hanya untuk memenuhi kepentingan peribadi ketua pembangkang itu.

“Ketika memegang jawatan dalam kerajaan, dia (Anwar) tidak pernah menyarankan perkara sedemikian.

“Dia buat hanya untuk dirinya bukan untuk bina sistem yang lebih terbuka. Pada zaman dia pun sidang Parlimen tidak ada siaran langsung,(tapi) zaman saya sekurang-kurangnya ada,” katanya.

Mengulas dua stesen radio yang gagal mematuhi tempoh bertafakur sebagai penghormatan kepada mangsa tragedi Malaysia Airlines MH17 pada 22 Ogos, Ahmad Shabery berkata mereka diminta untuk memberi penjelasan dan surat tunjuk sebab kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Pihak SKMM akan menghantar surat kepada mereka bagi mendapatkan sebab dan penjelasan mengenai mengapa ia tidak berlaku seperti yang dikehendaki (berkabung),”katanya.

Beliau berkata perkara itu akan dinilai dan tindakan selanjutnya akan ditentukan oleh pihak SKMM sebagai pihak yang memberi lesen kepada stesen radio.
– BERNAMA

No comments:

Post a Comment