TUMPAT, 23 Ogos – “Allahyarham suami saya sentiasa berpesan supaya penggantinya dapat menjaga Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor dengan baik,” kata isteri kepada Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar, Datin Siti Mona Abdul Kadir.
Beliau berkata sehingga ke saat akhir hayatnya, Allahyarham suaminya sentiasa bercakap mengenai kebajikan para pengundi di DUN itu.
“Dia ingin penggantinya jaga DUN Pengkalan Kubor seperti mana dia jaga selama ini.
“Saya reda di atas pemergiannya, saya berpuas hati ketika jenazah sampai ramai yang hadir dan segala urusan berjalan lancar,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek di rumahnya di Kampung Surau, Pasir Pekan di sini, hari ini.
“Ia merupakan satu kehilangan yang besar buat Umno dan saya ambil kesempatan untuk mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham,” kata Ahmad Shabery dan menambah arwah merupakan seorang pemimpin berjiwa rakyat.
“Kita lihat keputusan pilihan raya sebelum ini dan kemenangan yang diperoleh amat besar, ini menandakan yang beliau dekat dengan rakyat serta disenangi rakan-rakan.
Jenazah Allahyarham Noor Zahidi yang juga Adun Pengkalan Kubor selamat disemadikan 11.50 malam tadi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Surau, Pasir Pekan di sini.
Noor Zahidi, 57, meninggal dunia akibat kanser hati di sebuah hospital di Guangzhou, China pada 5.45 pagi, Rabu lepas.
Allahyarham merupakan Adun Pengkalan Kubor selama tiga penggal dan Ketua Umno Bahagian Tumpat selama empat penggal.
Pada pilihan raya umum lepas, Allahyarham yang mewakili Barisan Nasional mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.
No comments:
Post a Comment