Pages

Saturday, 30 August 2014

JDT, FELDA UNITED, PAHANG, KELANTAN KE SUKU AKHIR PIALA MALAYSIA


Kuala Lumpur: Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Felda United, Pahang dan Kelantan mengesahkan tiket ke saingan suku akhir Piala Malaysia 2014 selepas perlawanan kelima peringkat kumpulan, malam ini.

JDT mengungguli carta Kumpulan C dengan 13 mata selepas menutup peluang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke suku akhir dengan kemenangan tipis 1-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang. 

Penyerang import dari Argentina Luciano Figueroa membantu melakarkan kemenangan keempat JDT menerusi hasil jaringan tunggal pada minit ke-18. 

ATM pula sekadar menduduki tangga ketiga kumpulan dengan lima mata manakala Pulau Pinang menghuni tangga tercorot dengan satu mata.

Dalam saingan Kumpulan A pula menyaksikan naib juara Piala FA 2014, Felda United mengalahkan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) 3-1 di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang.

Dua gol pertama Felda United pada separuh masa pertama dijaringkan oleh pemain import, Zah Rahan Krangar dari Liberia pada minit kelima dan Ahmad Syamim Yahya pada minit ke-16. 

Bersambung babak kedua, Felda United menjaringkan ketiga melalui Mohd Raimi Mohd Nor (49’) manakala JDT II memperoleh gol tunggal menerusi pemain importnya, Nicholas Delmonte pada minit ke-86. 

Kemenangan ketiga Felda United itu membolehkan mereka menduduki tangga teratas dengan 10 mata dengan baki satu perlawanan. 

Meskipun Pahang tewas 2-1 kepada pasukan kelab dari Singapura Lions XII di Stadium Darul Makmur, Kuantan namun mereka tetap mengesahkan slot kedua kumpulan ke peringkat suku akhir dengan sembilan mata. 

Lions XII hanya mengumpul lima mata manakala JDT II ketinggalan satu mata di tangga tercorot kumpulan. 

Skuad Tok Gajah bermula cemerlang dengan jaringan pembukaan pada separuh masa pertama oleh pemain import dari Nigeria, Dickson Nwakaeme pada minit ke-13 namun Lions XII bangkit dengan dua gol melalui jaringan Sufian Anuar (52’) dan tandukan Madhu Mohana (84’). 

Sementara itu, Kelantan berada di tangga kedua dalam Kumpulan C dengan sembilan mata selepas mencatat kemenangan 3-1 ke atas Pulau Pinang di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang. 

'The Red Warriors' meraih gol pertama menerusi Wan Zaharulnizam Zakaria pada minit ke-35 diikuti Mohd Khairul Izuan Rosli (60') dan Francis Forkey Doe pada minit ke-83. 

Gol tunggal Pulau Pinang dijaringkan oleh pemain import dari Brazil, Luiz Ricardo Lino Dos Santos pada minit ke-48. - Bernama

No comments:

Post a Comment