SUBANG – Sebuah lori membawa muatan tanah bersama tiga kereta musnah terbakar dalam kemalangan di Plaza Tol Sunway, petang tadi.
Kejadian kira-kira jam 4 petang itu berlaku selepas lori terbabit gagal dikawal dan melanggar tiga pembahagi jalan di plaza tol berkenaan sebelum merempuh tiga kereta dan sebuah kenderaan pelbagai guna di laluan yang sama.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Mohd Sani Harul berkata, akibat rempuhan, lori terbabit terbakar bersama tiga kenderaan yang dilanggarnya.
“Pemandu ketiga-tiga kereta berkenaan termasuk seorang jurutol yang sedang bertugas di plaza tol berkenaan sempat menyelamatkan diri,” katanya.
Difahamkan jurutol berkenaan bersama dua pemandu yang cedera dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya akibat kecederaan yang dialami. Manakala pemandu lori berkenaan tidak dapat dikesan dipercayai melarikan diri.
“Sepasukan anggota dari Balai Bomba Penchala dan Puchong dikejarkan ke lokasi kejadian dan api dapat dipadam sepenuhnya dalam tempoh 10 minit,” katanya.
Menurut Mohd Sani, kerugian dianggarkan mencecah RM400,000.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment