Pages

Monday, 9 June 2014

PELAJAR DIHANYUT ARUS DERAS {UPDATE}



KUANTAN - Kegembiraan tiga keluarga bersaudara membawa anak-anak berkelah di kawasan perkelahan Sungai Pasir Kubur, Sungai Lembing dekat sini berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka dikhuatiri lemas selepas terjatuh ketika turun membasuh tangan di sungai itu, petang kelmarin.



Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa, Mohd Osama Suparman, 12 bersama lima yang lain termasuk adik, sepupu dan bapa saudara lemas apabila dihanyutkan arus setelah termasuk ke kawasan yang agak dalam.

Bagaimana pun, adiknya, Mohd Firman Shah Suparman, 8, sepupu, Nur Fatihah Mohd Sukri, 8, Nur Fatihan Aisyah Mohd Faizal, 10, Mohd Syed Hakimi Syed Putra, 8 dan bapa saudara, Mohd Hafiz Mohd Zaki, 10 berjaya diselamatkan.

Bapa saudara Mohd Osama, Mohd Saari Mohd Sabri, 34 berkata, dia bersama keluarga termasuk kakak dan adik membawa anak-anak ke kawasan perkelahan itu untuk berkelah dan mandi-manda sempena cuti hujung minggu.

Menurutnya, kakaknya datang dari Kampung Jabor, Kemaman, adiknya dari Lepar dekat sini dan dia dari Pekan.

“Kami tiba di sini kira-kira jam 4 petang dan memilih untuk makan terlebih dahulu di bawah teduhan pokok sebelum turun ke sungai untuk mandi.

“Mohd Osama yang belajar dalam darjah enam di Sekolah Kebangsaan Seri Iman, Kemaman teringin untuk makan buah tembikai yang dibawa namun hajatnya terbantut selepas buah itu tidak elok.

“Saya suruh dia bersama lima yang lain ke sungai untuk membasuh tangan sebelum makan makanan yang dihidangkan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.
SH

UPDATE:
KUANTAN - Mayat murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Seri Iman yang hilang ketika berkelah bersama keluarganya di kawasan perkelahan Sungai Pasir Kubur, Sungai Lembing dekat sini Sabtu lepas ditemui pada pukul 9.35 pagi tadi. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota, Muhammad Najib Hashim berkata, mayat Mohd Osama Suparman, 12, dijumpai oleh orang kampung kira-kira satu kilometer dari tempat mangsa dikatakan terjatuh. "Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan akan dituntut oleh keluarga mangsa selepas bedah siasat dijalankan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Sementara itu bapa mangsa, Suparman Hanan, 46, ketika ditemui pemberita di perkarangan Jabatan Forensik HTAA berkata, beliau dan anggota keluarga menerima kematian anak kelima dari tujuh beradik itu dengan reda. "Sudah takdir Allah...kami reda dengan pemergiannya. Kali terakhir saya jumpa dengan Osama pada minggu lepas dan saya sempat membelikannya sebiji bola dan stokin sebab arwah sangat minat dengan sukan bola sepak," katanya. Namun beliau terkilan kerana cita-cita Allahyarham untuk menjadi seorang ustaz tidak kesampaian. "Dia tidak sabar untuk menduduki peperiksaan UPSR (Ujian Penilaian Sekolah Rendah) sebab lepas tu dia nak masuk sekolah pondok, arwah nak jadi ustaz," katanya. Katanya jenazah akan dibawa dan dikebumikan di Kampung Jabor, Kemaman hari ini. Dalam kejadian Sabtu lepas, Mohd Osama dilaporkan lemas selepas terjatuh ketika turun membasuh tangan di sungai berkenaan. Kejadian itu juga menyebabkan lima lagi saudaranya nyaris lemas akibat dibawa arus ketika cuba menyelamatkan mangsa, namun berjaya diselamatkan oleh sekumpulan pemancing yang berada tidak jauh dari kawasan kejadian.
Bernama

No comments:

Post a Comment