Pages

Saturday, 28 June 2014

MALAYSIAKINI MAHU HAKIM DENGAR KES SAMAN FITNAH OLEH NAJIB


KUALA LUMPUR: Penerbit Malaysiakini dan dua yang lain telah memohon supaya seorang hakim Mahkamah Tinggi mendengar kes saman fitnah yang difailkan oleh Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak dan Setiausaha Kerjanya, Datuk Ab Rauf Yusoh terhadap mereka berhubung penerbitan dua artikel. 

Dalam permohonan tersebut, Mkini Dotcom Sdn Bhd, Ketua Editor Malaysiakini, Steven Gan dan Ketua Pengarangnya, Fathi Aris Omar, meminta Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Wira Kamaludin Md Said menarik diri daripada mendengar saman fitnah itu atas alasan bahaya berat sebelah yang nyata. 

Saman tersebut ditetapkan untuk pendengaran di hadapan Kamaludin. Ketiga-tiga defendan tersebut berkata Pesuruhjaya Kehakiman dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri selepas berunding dengan Ketua Hakim Negara. 

Mereka berkata Pesuruhjaya Kehakiman tidak menikmati jaminan tempoh penugasan, selain tidak ada jaminan bahawa mereka akan dilantik sebagai hakim Mahkamah Tinggi. 

Oleh itu, mereka menuntut Kamaludin menarik diri daripada mendengar saman tersebut dan kes itu didengar di hadapan hakim Mahkamah Tinggi. 

Peguam Ashok Kandiah, yang mewakili pihak defendan, memberitahu media bahawa permohonan itu difailkan Selasa lepas. Salinan permohonan disediakan kepada media hari ini.

Beliau berkata mahkamah telah menetapkan 8 Julai ini untuk pengurusan kes bagi permohonan tersebut di hadapan timbalan pendaftar. 

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai permohonan itu, peguam Raihanah Ashriqin Ariffin, yang mewakili Najib dan Ab Raud, berkata beliau akan mendapatkan arahan anak guamnya sama ada untuk membantah permohonan tersebut. 

Pada 30 Mei lepas, Najib, selaku plaintif kedua memfailkan saman tersebut atas kapasiti peribadi manakala Ab Rauf sebagai plaintif kedua bagi pihak Umno. 

Pihak plaintif mendakwa defendan telah melapor, mengeluar dan membenarkan penerbitan dua artikel bertajuk 'A case of the PM reaping what he sows' dan 'How much will Najib spend to keep Terengganu?' di bawah ruangan Yoursay di laman portal berkenaan, www.malaysiakini.com pada 14 Mei lepas. 

Dalam ruangan itu, pihak defendan sendiri atau ejen atau pembantu mereka telah mengumpul komen-komen daripada pelanggan atau pengguna laman portal itu dan kemudian menggabungkan komen-komen yang terpilih sebagai satu artikel, yang secara jelas telah memfitnah pihak plaintif dan diterbitkan semula di laman portal tersebut. 

Artikel bertajuk 'A case of the PM reaping what he sows' berkaitan dengan dasar-dasar kerajaan dan hudud manakala artikel 'How much will Najib spend to keep Terengganu?' adalah mengenai krisis politik di Terengganu yang berlaku pada Mei lepas. 

Najib dan Ab Rauf mendakwa pihak defendan dengan sengaja didakwa membenarkan penerbitan artikel-artikel itu walaupun mengetahui tuduhan mereka tidak berasas dan perkara yang tidak benar. 

Najib mendakwa perkataan-perkataan fitnah itu telah mencemarkan reputasinya sebagai ahli politik, selaku Presiden Umno dan Perdana Menteri. 

Kedua-dua plaintif juga mendakwa komen-komen dalam artikel-artikel tersebut tersirat sindiran untuk menunjukkan bahawa Umno tidak cekap sebagai badan politik dan tulang belakang kerajaan Barisan Nasional (BN). 

Mereka mendakwa perkataan fitnah telah juga direka untuk mencerminkan Umno sebagai menyalahgunakan kuasa demi kepentingan parti dan ia sebuah parti yang tidak demokratik dan sengaja dicipta situasi yang tidak diingini. 

Akibat daripada penerbitan tersebut, pihak plaintif mendakwa, reputasi mereka telah terjejas dengan teruk apabila Umno dikecam terutama dalam media sosial dan media massa. 

Berikutan itu, pihak plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi khas, ganti rugi keterlaluan, faedah, kos dan perintah injunksi bagi menghalang pihak defendan, pembantu atau ejen mereka daripada berbicara lebih lanjut atau menerbitkan atau menyebabkan penerbitan artikel-artikel itu atau seakan-akan 
dengannya. 

Mereka turut menuntut suatu perintah supaya pihak defendan membuat permohonan maaf secara bertulis untuk disiarkan dalam akhbar serta kos.
BERNAMA 

No comments:

Post a Comment