Pages

Saturday, 14 June 2014

LONGKANG RAGUT NYAWA BAYI


KUALA SEPETANG - Kematian seorang bayi berusia 18 bulan akibat terjatuh ke dalam longkang berhampiran rumahnya di sini menyebabkan penduduk mahu pihak berkenaan memasang penutup longkang di kawasan itu.

Sistem perparitan yang dibina sejak lebih 20 tahun lalu, dipercayai telah meragut lima nyawa.

Penduduk yang enggan dikenali berkata, longkang itu agak dalam malah apabila berlaku air pasang, ketinggian air di dalamnya boleh mencecah 1.2 meter.

Menurutnya, pada 3 Jun lalu seorang bayi 18 bulan maut selepas terjatuh ke dalam longkang berkenaan.

"Bayi yang tinggal berhampiran longkang itu, lemas selepas terjatuh ke dalamnya yang dipenuhi air," katanya.

3 Jun 2014 merupakan hari tidak dapat dilupakan Mazlan Manan, 38, apabila anak bongsunya, Muhammad Rafiq Iskandar, 18 bulan maut akibat terjatuh ke dalam longkang yang terletak di hadapan rumahnya.

Mazlan berkata, dia langsung tidak menyangka longkang tersebut telah meragut nyawa anak bongsunya,

Menurutnya, pada hari kejadian, kira-kira jam 10 pagi, rumahnya mula sibuk kerana bakal mengadakan satu majlis perkahwinan beberapa hari berikutnya.

“Ketika itu, sudah ramai saudara yang datang dan seperti biasa Rafiq akan bermain-main di kawasan sekitar rumah.

“Sejak mula berpindah ke kampung ini, Rafiq tidak pernah pergi sendirian ke jalan raya dan kebiasaannya dia hanya ke kediaman sebelah atau surau yang  terletak di sebelah rumah kami,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Mazlan berkata, selepas menyedari Rafiq tiada di rumah dan dia terus mencari anaknya.

Jelasnya, ketika mencari Rafiq, dia terdengar bunyi kecoh di hadapan rumahnya.

“Saya terus berlari dan apabila sampai sahaja di longkang besar di hadapan rumah, saya lihat tubuh anak bongsu saya telah terapung.

"Saya segera mendapatkan Rafiq dan membawanya ke klinik sebelum ke Hospital Taiping untuk mendapatkan rawatan namun Allah SWT lebih sayangkan dia,” katanya.

Sementara itu, ibu mangsa, Maziatul Suhaila Saidin, 31, berkata, sehingga ke hati ini, dia begitu rindukan senyuman anak bongsunya.

Menurutnya, Rafiq anak bongsu daripada lima beradik dan dia seorang anak yang mudah dijaga.

“Malah dia juga seorang anak yang mudah mesra dengan sesiapa sahaja dan kehilangannya ini amat dirasakan.

“Lebih sedih apabila mengenangkan Rafiq yang masih menyusu badan kini tiada lagi di depan mata,” katanya.

Maziatul berkata, bukan sahaja dia dan suami tetapi abang dan kakak arwah Rafiq juga begitu terasa pemergiannya.

“Sebelum kejadian itu, arwah Rafiq langsung tidak menunjukkan sebarang perubahan, malah dia sudah mula boleh bercakap sebelum kejadian.

“Walaupun saya tidak mendengarnya sendiri, namun daripada cerita bapa saudara arwah dia boleh menyebut bantal dan burung,” katanya.

Maziatul berkata, longkang besar itu, amat berbahaya kerana bukan sahaja lebar dan dalam tetapi tidak bertutup.

“Sebagai penduduk di sini sudah pastinya aspek keselamatan anak-anak sentiasa menjadi kebimbangan kepada ibu bapa.

“Malah difahamkan juga, sebelum ini beberapa kali cadangan telah dibuat untuk menutup longkang berkenaan atas faktor keselamatan, namun sehingga kini ia masih belum ada sebarang maklum balas daripada pihak
bertanggungjawab,” katanya.

Sementara itu, Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran( JPS) Daerah Larut Matang dan Selama, Mahidi Mahamood ketika dihubungi berkata, jika benar longkang itu membahayakan penduduk setempat terutama kanak-kanak,
pihaknya bersetuju untuk menutup longkang berkenaan.

Katanya, JPS bersetuju dengan cadangan penduduk itu, namun beberapa perkara perlu diambil kira.

“Paling utama ialah melibatkan faktor kewangan dan kita akan cuba laksanakan cadangan longkang bertutup sekiranya mempunyai  peruntukan dalam tempoh masa terdekat,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah ketika dihubungi mengesahkan kejadian seorang kanak-kanak berusia 18 bulan maut akibat terjatuh ke dalam longkang di hadapan rumah.
SH

No comments:

Post a Comment