Pages

Sunday, 29 June 2014

LEBIH 14,000 IBU TUNGGAL DI KELANTAN DIBELA JUWITA

GAMBAR HIASAN
KOTA BHARU - Lebih 14,000 ibu tunggal di Kelantan bakal menikmati kemudahan disediakan oleh kerajaan Persekutuan melalui sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang baru dilancarkan iaitu Jaringan Untuk Wanita Ibu Tunggal Malaysia (Juwita).
    
Pengerusi Juwita Datuk Sharifah Azizah Syed Zain berkata pelbagai bentuk bantuan disediakan kepada ibu tunggal termasuk kad diskaun serta insurans.
    
"Bagi kad diskaun sebenarnya ia telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2013 dan sekarang kita sedang mendapatkan kerjasama pasar raya di seluruh negara bagi meringankan beban mereka dalam menguruskan perbelanjaan.
    
"Kita jamin mereka (ibu tunggal) ini akan diberi banyak bantuan mengikut minat dan pekerjaan yang dilakukan sebagai contoh bagi usahawan, mereka akan diberi tunjuk ajar selain bantuan yang sepatutnya," katanya kepada Bernama selepas Majlis Pelancaran Juwita Negeri Kelantan di Pejabat Perhubungan Umno Negeri di sini, hari ini.
    
Majlis pelancaran tersebut disempurnakan oleh Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Datuk Hanafi Mamat.
   
Sharifah Azizah berkata kategori ibu tunggal yang akan diberi kemudahan tersebut termasuk yang menjadi ketua keluarga kerana suami sakit dan yang digantung tidak bertali.
     
Sementara itu, Zurita Awang, 38, menyambut baik penubuhan NGO tersebut yang dapat membantu golongan ibu tunggal sepertinya untuk meneruskan hidup.
    "
Ini merupakan jalan dan peluang yang perlu diambil oleh golongan ibu tunggal untuk mendapatkan khidmat nasihat, dan pertolongan. Dengan adanya badan ini, kami sebagai ibu tunggal tahu di mana arah tuju kami untuk meneruskan kehidupan," katanya. 
Bernama

No comments:

Post a Comment