Pages

Sunday, 15 June 2014

HUDUD : UMNO KELANTAN SEDIA SERTAI JAWATANKUASA


KOTA BHARU - Umno Kelantan bersedia untuk sama-sama menyertai jawatankuasa teknikal peringkat kebangsaan bagi membincangkan pelaksanaan hukum hudud di negeri itu.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, bagaimanapun pihaknya menyerahkan kepada jawatankuasa teknikal itu untuk menentukan siapa yang akan menjadi wakil dari Kelantan.

"Kita bersifat terbuka dalam hal ini dan menyerahkan segala keputusan kepada pihak pusat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Tautan Kasih-Kami Prihatin anjuran Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini, hari ini.

Kerajaan pusat menubuhkan jawatankuasa itu setelah Pas mahu membentangkan Rang Undang-undang Persendirian (Hukum  Hudud) di Parlimen bagi mendapatkan kebenaran melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993.

Terdahulu pada majlis itu, Mustapa menyampaikan bantuan kewangan dan sumbangan peralatan perubatan Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia (TKPM) berjumlah RM70,523.68 kepada 13 pesakit terpilih dan royalti Hospimart berjumlah RM111,479 kepada HRPZII.

Projek Hospimart, kedai runcit yang diusahakan Persatuan Pegawai Kerja Sosial Perubatan Malaysia itu telah mengembalikan royalti sebanyak RM250,054 kepada 3,326 pesakit bagi tiga tahun terakhir dari 2011 hingga 2013. 
Bernama

No comments:

Post a Comment