Pages

Saturday, 21 June 2014

DIBELASAH SUAMI DENGAN TOPI KELEDAR KERANA RM10


Tindakan seorang wanita menegur perbuatan suaminya mencampak wang tunai RM10 ke mukanya mengundang padah apabila lelaki itu mengamuk dan membelasah mangsa dengan topi keledar di kediaman mereka di Pandan Indah, di Ampang, kelmarin.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, lelaki berusia 30-an itu turut bertindak mengunci rumah dan mengurung isterinya berusia 29 tahun sebelum dia keluar dari kediaman mereka.

Bagaimanapun mangsa berjaya mencari kunci rumah pendua sebelum keluar mendapatkan rawatan di klinik berhampiran akibat hidung berdarah selain bengkak di kepala dan lebam seluruh badan.

Bimbang dengan kejadian itu mangsa nekad membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah untuk tindakan selanjutnya.

Sumber berkata, mangsa pada mulanya meminta suaminya menghantarnya ke hospital kerana mengadu tidak sihat, namun tidak diendahkan lelaki terbabit.

“Sebaliknya suspek mengambil wang tunai sebanyak RM10 dan terus mencampak ke muka isterinya dan menyuruh mangsa pergi sendiri.

“Wanita terbabit yang tidak berpuas hati dengan sikap suaminya itu menegur perbuatan lelaki itu menyebabkan suspek memarahinya sebelum menendang dan menumbuk mangsa.

“Malah, suspek yang gagal mengawal kemarahan mengambil topi keledar dan menghentak kepalanya isterinya beberapa kali,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Asisten Komisioner Khairuldin Saad mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
HMetro

No comments:

Post a Comment