KUALA LUMPUR: Polis Bukit Aman menubuhkan pasukan khas bagi memantau kegiatan perjudian bola sepak sepanjang perlawanan Bola Sepak Piala Dunia FIFA 2014 yang bakal membuka tirai perlawanan Jumaat.
Ketua Penolong Pengarah Cawangan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, SAC Roslee Chik berkata pasukan khas itu yang ditubuhkan tiga minggu lepas bukan sahaja memantau malah akan menahan sindiket yang terbabit dalam aktiviti haram itu sepanjang perlawanan bola sepak.
"Kami (polis) bersiap sedia untuk 'perang' secara besar-besaran bagi membanteras kegiatan haram itu.
"Jenayah rentas sempadan ini melibatkan jaringan dengan laman web luar negara dan terdapat juga transaksi hasil pertaruhan disalurkan masuk dan keluar negara. 'Server' (pelayan) bagi laman web perjudian ini biasanya berada di luar negara seperti Filipina dan Kemboja," katanya kepada pemberita di sini Khamis.
Beliau berkata, pengendali pelayan menggunakan teknologi terkini dan canggih termasuk menggunakan sistem kawalan yang tinggi seperti nama pengguna dan kata laluan iaitu ia sering ditukar bagi menyukarkan pihak polis mendapatkan keterangan.
Roslee berkata pada 2010 jumlah nilai pertaruhan adalah RM437.9 juta membabitkan 143 individu berusia lingkungan 15 hingga 73 tahun ditahan di seluruh negara di bawah Akta Pertaruhan 1953.
Kesemua mereka tidak dituduh di mahkamah kerana tiada bukti kukuh.
Katanya tahun ini, individu yang ditahan atas kesalahan berjudi, juga akan disiasat mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) (Pindaan dan Pemerluasan) 2013.
Pindaan terhadap POCA 1959 yang diwartakan pada 1 April lepas, berkuat kuasa 2 April 2014 bagi memerangi jenayah dengan lebih berkesan.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan akan berlaku peningkatan dalam nilai pertaruhan kerana penggunaan telefon pintar memudahkan orang ramai melakukan aktiviti perjudian talian.
"Pada 2010, sindiket menggunakan komputer untuk menjalankan aktiviti ini, tetapi kini majoriti menggunakan telefon pintar. Maka kita yakin nilai pertaruhan akan meningkat kali ini," katanya.
MStar
No comments:
Post a Comment