Pages

Sunday, 22 June 2014

ADUN BUKIT ASSEK MENINGGAL DUNIA

KUCHING: Bekas Pengerusi DAP Sarawak, Wong Ho Leng, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek meninggal dunia di sebuah pusat perubatan swasta di Sibu kira-kira jam 10.50 malam tadi.

Ho Leng yang menderita kanser otak sebelum ini pernah mendapatkan rawatan di Singapura sebelum koma, seterusnya dipindahkan ke Sibu untuk rawatan lanjut atas permintaan keluarganya.

Kematian Ho Leng disahkan Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen yang menyatakan ia satu kehilangan besar kepada perjuangan parti itu di negeri ini.

Ho Leng disahkan menghidap kanser otak sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 tahun lalu dan berulang alik ke sebuah pusat perubatan terkemuka di Singapura sejak itu untuk mendapatkan rawatan.

Atas faktor kesihatan, Ho Leng yang juga penyandang kerusi Parlimen Sibu yang dimenanginya dalam pilihan raya kecil susulan kematian Datuk Robert Lau pada 2010 memutuskan tidak menyertai PRU-13.

Mengikut DUN Sarawak, sebarang kematian ADUN selepas 20 Jun tidak memerlukan pilihan raya kecil diadakan kerana sudah melebihi tempoh separuh penggal.
Bernama

No comments:

Post a Comment