TELUK INTAN: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, percaya Pilihan Raya Kecil Parlimen Teluk Intan akan dijadikan sebagai referendum dalam isu hudud jika DAP menang pada 31 Mei ini.
Ahmad Shabery berkata, calon DAP, Sofya Mohd Daud, sudah terang-terangan mengatakan akan menolak cadangan pelaksanaan hudud dan DAP akan menjadikan kemenangan itu sebagai referendum bahawa rakyat menyokong tindakan parti itu menolak hukum hudud.
"DAP terang-terang tolak hudud dan PAS terang-terang mahukan hudud, dan saya rasa PAS yang akan terperangkap dalam hal ini
"Kalau menang DAP, ia akan dijadikan referendum nasional bahawa teriakan DAP selama ini untuk menolak hudud mendapat sokongan, termasuk PAS," katanya.
Ahmad Shabery yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata demikian selepas melawat Pusat Media kementerian itu bagi PRK Parlimen Teluk Intan di sini, hari ini.
PRK bagi kawasan Parlimen Teluk Intan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional, Datuk Mah Siew Keong dan Dyana Sofya.
Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi Seah Leong Peng, 48, daripada DAP akibat kanser pada 1 Mei lalu.
- BERNAMA
No comments:
Post a Comment