Pages

Friday, 23 May 2014

PADAH PULANG AWAL DARI SEKOLAH !!!


Gara-gara ingin pulang awal dengan memanjat pagar sekolah, tangan kiri seorang pelajar tingkatan lima tertusuk jeriji pagar berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi semalam, pelajar berumur 18 tahun itu bersama-sama 20 rakannya yang mahu pulang awal bertindak memanjat pagar tersebut.

Pelajar yang hanya mahu dikenali sebagai Muhd berkata, dia bersama rakan lain baharu sahaja selesai menduduki peperiksaan dan memanjat pagar sebagai jalan pintas untuk pulang.

“Selepas tergelincir, saya berada dalam keadaan tergantung kerana pagar agak tinggi. Saya ingatkan baju yang tersangkut pada jeriji, rupa-rupanya tangan kiri yang tertusuk pada besi pagar.

“Disebabkan terlampau sakit, saya panjat semula pintu pagar dan menunggu hampir sejam sebelum diselamatkan pasukan Bomba,” katanya.

Berikutan kejadian itu, Muhd menerima 30 jahitan selepas dirawat di Hospital Pasir Mas.

"Syukur Alhamdulillah kerana ia tidak mencederakan tulang mahupun saluran darah utama.

"Kejadian ini memberikan pengalaman yang sukar dilupakan dan pengajaran bermakna juga kepada saya serta rakan," kata anak kedua daripada tiga beradik ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Rahmat Kamaruzaman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.11 tengah hari dan segera ke lokasi kejadian dengan kekuatan tujuh anggota.

“Setibanya di lokasi, kami dapati kaki mangsa tidak mencecah tanah, sementara tangan kirinya tertusuk pada besi pintu pagar.

“Kami berusaha menyelamatkan mangsa dengan memotong sebahagian pagar besi menggunakan pemotong hidraulik," katanya

No comments:

Post a Comment